Ikuti Kami:

TV AlHijrah Perkukuh Program Haji 1447H, Ustaz Don Kembali Menerusi Dua Program Khas

TV AlHijrah Perkukuh Program Haji 1447H,  Ustaz Don Kembali Menerusi Dua Program Khas

TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan melancarkan rangkaian kandungan khas sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H menerusi kempen bertema ‘Arafah: Puncak Munajat & Harapan’.

Kandungan yang disusun bermula April hingga penghujung Mei ini bakal menampilkan kelainan besar dengan pengumuman penampilan semula pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, menerusi dua program khas iaitu Talbiah Haji bersama Ustaz Don dan Refleksi Haji Ustaz Don.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris berkata, kemunculan semula Ustaz Don telah dimuktamadkan selepas siri perbincangan dan pertemuan bersama pihak berautoriti agama termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita menantikan penampilan semula beliau dan percaya pengalaman lalu telah mendewasakan semua pihak. Beliau akan membawa versi terbaik dalam perkongsian ilmu kali ini, selaras dengan restu dan panduan yang diberikan oleh pihak berautoriti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain kepulangan Ustaz Don, tumpuan utama musim ini ialah siaran langsung Khutbah Arafah 2026 yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, terus dari Tanah Suci pada 26 Mei depan.

Mengulas mengenai pengisian tersebut, Dr. Zulkifli Hasan berkata program berkenaan bukan sekadar siaran ibadah, malah bertujuan mencetuskan satu gelombang kefahaman Islam yang sebenar terutamanya mengenai maqasid dan penghayatan haji bagi masyarakat Malaysia.

“Ibadah haji dan roh yang dibawa melalui program-program ini mampu membawa mesej perpaduan serta penyatuan umat. TV AlHijrah telah membuktikan mereka sangat relevan dan kini berdiri sama tinggi dengan stesen televisyen utama yang lain melalui inovasi kandungan berimpak tinggi,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, aspirasi kerajaan adalah untuk melihat media seperti TV AlHijrah memainkan peranan lebih besar dalam membentuk pemikiran rakyat ke arah memahami Islam yang berkemajuan, progresif, dan dalam masa yang sama meraikan perbezaan.

“Kita mahu mewujudkan masyarakat yang damai di negara ini. Walaupun kita berbilang bangsa dan agama, kita ingin negara terus harmoni serta menawarkan satu model negara rahmah kepada dunia,” katanya.

Mengulas mengenai inovasi penyiaran tahun ini, Namanzee menjelaskan program ikonik Diari Labbaikallah akan menggunakan pendekatan digital yang lebih segar.

“Tahun ini kita tidak menggunakan set peralatan kamera yang berat. Sebaliknya, mutawif dan mutawifah di sana akan menyalurkan kemas kini harian dalam bentuk kapsul digital menggunakan peranti mudah alih.

“Kandungan ini akan diproses secara ‘real-time’ di sini dan disiarkan pada hari yang sama supaya penonton dapat merasai pengalaman sebenar jemaah di Mekah dengan sela masa hanya lima jam,” tambahnya.

Antara program utama lain yang akan menemui penonton termasuk:

– Interaktif Haji: Bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam bermula 20 April, memfokuskan kepada bimbingan praktikal ibadah haji.
– Kisah Mutawif: Menyingkap pengalaman rohani mutawif membimbing jemaah di Tanah Suci.
– Munajat Arafah: Program khas pada 26 Mei jam 5 petang yang menampilkan tausiyah dan zikir menjelang waktu wukuf.
– Peristiwa Hari Tasyrik: Kupasan hikmah pengorbanan yang bersiaran pada akhir Mei.

Rangkaian kandungan khas ini boleh diikuti menerusi platform televisyen serta medium digital rasmi Facebook dan TikTok TV AlHijrah sepanjang musim haji ini.