Tur SAMA SAMA: Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere & Idgitaf Gegar Idea Live Arena
- oleh Mohd Indera
- 30 Sep 2025 2:24 pm

Lima figura hebat muzik Nusantara bakal menggamatkan ibu kota apabila Tur SAMA SAMA menjanjikan persembahan kolaborasi luar biasa di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025, jam 7.30 malam.
Menghimpunkan nama besar Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere dan Idgitaf, konsert ini bakal memberi pengalaman berbeza kepada peminat dengan konsep persembahan dinamik – daripada solo, duet, trio hingga kuintet.
Tur SAMA SAMA yang sebelum ini mencipta fenomena di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor, akhirnya menunaikan janji untuk bertandang ke Malaysia selepas sambutan hangat di Indonesia.
“Kami sedang merealisasikan janji yang pernah diucap. Sampai jumpa di Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena pada 5 Disember ini. Kami tidak sabar berkongsi format kolaborasi unik yang hanya wujud dalam tur ini,” ujar Sal Priadi mewakili rakan-rakan artis lain.
Penganjur bersama PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive menyifatkan peluang membawa tur ini ke Kuala Lumpur sebagai pencapaian besar.
“Pengumuman ini ibarat mimpi jadi nyata. Lima pemuzik hebat ini bukan sekadar tampil dengan lagu masing-masing, tetapi juga bertukar karya dan mempersembahkan susunan baharu khas untuk penonton Malaysia,” jelas Udzir Harris dari Thrive.
Tiket pra-jualan telah mula dipasarkan pada 29 September 2025 dengan harga bermula RM228. Sebanyak 11 kategori ditawarkan termasuk Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi BBO Events serta laman rasmi samasamatur.com.
“Jangan lepaskan peluang kerana ini adalah tur kolaborasi paling epik tahun ini. Pastikan anda berada di Idea Live Arena untuk menjadi saksi sejarah muzik Nusantara,” pesan Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu.
Untuk perkembangan terkini mengenai Tur SAMA SAMA, peminat boleh mengikuti @thriveevents_my di platform media sosial.