Tun Mahathir Buka Kapsul Masa Wawasan 2020: Kenangan 28 Tahun Disingkap di Menara KL
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Detik penuh emosi dan bersejarah tercipta hari ini apabila YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam beliau sendiri lebih 28 tahun lalu.
Acara bersejarah ini berlangsung di Menara Kuala Lumpur sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, dalam satu gabungan yang menyatukan kenangan silam dan sambutan lebaran.
Tun Mahathir, yang melancarkan Wawasan 2020 sewaktu menjadi Perdana Menteri pada tahun 1991, dilihat sebak ketika menyentuh kembali warisan impian Malaysia yang tersimpan dalam kapsul tersebut.
“Ketika saya tanam kapsul ini, saya tak harap langsung hendak bukanya. Pada 2020, umur saya sudah lanjut. Saya fikir saya tidak sempat melihatnya. Tapi sekarang, walaupun lambat dibuka, saya masih diberi kesempatan,” ujar beliau dalam nada terharu di hadapan ratusan hadirin.
Kapsul masa tersebut mengandungi pelbagai artifak penting dan nostalgia negara, termasuk poster dan gambar Menara KL, kaset video, kad pengenalan, telefon bimbit, kenyataan media, kad perniagaan serta sebuah sajak karangan sendiri oleh Tun Mahathir.
Setiap item menggambarkan harapan dan aspirasi Malaysia menuju tahun 2020, sebagaimana yang diimpikan dalam wawasan negara itu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum yang hadir bukan sahaja untuk meraikan Aidilfitri, tetapi juga untuk menyaksikan momen bersejarah yang membawa mereka mengimbau kembali perjalanan negara.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, bersama Hydroshoppe Sdn Bhd, bertindak sebagai penganjur acara yang turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara dan Arkib Negara Malaysia.
Sebagai langkah seterusnya, kapsul masa tersebut akan diserahkan secara rasmi kepada Arkib Negara untuk pemeliharaan dan dipamerkan kepada orang awam.
Ini bagi memastikan dokumen dan bahan bersejarah ini terus dapat diakses oleh generasi akan datang dan tidak dilupakan begitu sahaja.
Majlis ini bukan sahaja menghidupkan semula semangat Wawasan 2020, malah memperkukuhkan nilai sejarah dan identiti nasional dalam suasana harmoni sambutan Aidilfitri.