Ikuti Kami:

Tun Fatimah: Pementasan Sejarah Sarat Nilai dan Keberanian Wanita Melayu di Panggung Bangsawan

Tun Fatimah: Pementasan Sejarah Sarat Nilai dan Keberanian Wanita Melayu di Panggung Bangsawan

Kisah perjuangan wanita Melayu dalam sejarah Kesultanan Melaka dihidupkan semula menerusi teater Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka yang mula dipentaskan malam ini di Panggung Bangsawan Melaka.

Pementasan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025, jam 8.45 malam ini diterbitkan oleh Boolan Trending dan Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) dengan sokongan Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Karya ini mengangkat kisah benar Tun Fatimah, seorang wanita yang menjadi lambang keberanian dan kebijaksanaan.

Dalam sejarah, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk pengkhianatan, kehilangan keluarga dan dilema antara cinta dan tanggungjawab sebagai isteri kepada Sultan Melaka.

Pengarah teater Lokman Ghani berkata pementasan kali ini membawa pendekatan baharu agar penonton lebih selesa dan memahami perjalanan cerita dengan lebih mendalam.

“Saya ubah sedikit rentak penceritaan. Bila ada babak berat seperti hukuman bunuh Dato’ Bendahara, saya beri ruang untuk penonton berehat sebentar sebelum sambung semula cerita. Itu antara pembaruan yang saya cuba untuk Tun Fatimah kali ini,” katanya.

Menurut Lokman, versi kali ini lebih padat dan ringkas tetapi penuh dengan isi penting. Barisan pelakon juga menunjukkan komitmen tinggi walaupun sebahagian mereka baru menyertai produksi ini.

“Saya anggap ini versi 3.0. Saya padatkan jalan cerita dan persembahan visual supaya penonton lebih mudah faham dan terkesan. Ini bukan cerita rekaan. Ia berdasarkan fakta. Di akhir persembahan, penonton akan tahu lokasi sebenar makam Tun Fatimah yang akan ditunjukkan di skrin,” katanya.

Ashraf Muslim yang membawa watak Sultan Mahmud Shah berkata teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut memberi ilmu dan pengalaman emosi kepada penonton.

“Dalam cerita Tun Fatimah, kita bukan saja tengok untuk hiburan. Kita juga belajar dan hayati perjalanan hidup Tun Fatimah sebagai pemaisuri Melaka. Ada banyak konflik, sedih, marah, gembira… semua perasaan ada. Ini cerita luar biasa. Kalau difilemkan pun boleh jadi lebih menarik daripada banyak filem yang ada,” katanya.

Pelakon lain yang terlibat termasuk Neera Azizi sebagai Tun Fatimah, Aziz M. Osman dan Radhi Khalid sebagai tokoh istana, serta penampilan istimewa jaguh silat negara Al Jufferi Jamari yang mempersembahkan aksi silat secara langsung.

Gabungan elemen bangsawan tradisional, kostum eksklusif, muzik latar dan naratif moden menjadikan pementasan ini bukan saja menarik, tetapi juga mendidik. Ia turut disasarkan sebagai antara tarikan utama Tahun Melawat Melaka 2025.

Pementasan Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025, setiap malam pada jam 8.45 malam di Panggung Bangsawan Melaka.

Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my/event/43016 dengan harga VIP RM100 (tempat duduk bawah depan), GOLD RM70 (bawah belakang), dan SILVER RM50 (atas).

Bagi pembelian terus tanpa melalui platform dalam talian, penonton boleh menghubungi Shareen di talian 019-621 0622 untuk mendapatkan harga istimewa iaitu VIP RM90, GOLD RM60 dan SILVER RM40.

Komen
Loading...