Tular CCTV Dipercayai Rakaman Insiden Faisal Halim Disimbah Asid
- oleh Mohd Indera
- 6 bulan lalu
SHAH ALAM – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian simbah asid yang dilakukan suspek terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu, tular di media sosial.
Dalam rakaman berdurasi 56 saat itu didapati seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.
Lelaki itu berada berhampiran Faisal yang dipercayai berada di luar keretanya.
Selang beberapa saat, lelaki itu meluru dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.
Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.
Pemerhatian Sinar Harian pada video tular itu juga dikesan terdapat seorang lelaki bermotosikal turut berada berhampiran Faisal.
Selepas menyerang Faisal, suspek terbabit kemudian terus melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu di motosikal sebelum terus memecut laju motosikal terbabit.
Setakat ini, kesahihan video tersebut tidak dapat dipastikan dan Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan pihak polis.