Ikuti Kami:

Trio Kimbab Kembali Ceriakan Syawal Dalam Single ‘Drama Raya’

Trio Kimbab Kembali Ceriakan Syawal Dalam Single ‘Drama Raya’

Trio lawak popular, Kimbab yang dianggotai Zulin Aziz, Nasz Sally, dan Maryam DurianKimchi, kembali mencuri tumpuan apabila melancarkan single terbaharu berjudul Drama Raya, bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Lagu berkenaan bukan sekadar hiburan kosong, malah tampil dengan konsep santai yang mengangkat kisah realiti kehidupan masyarakat setiap kali tibanya pagi Syawal.

Menurut Zulin Aziz yang juga pencipta lagu dan lirik berkenaan, idea penghasilan Drama Raya tercetus daripada pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap situasi ‘kelam-kabut’ yang sering dialami orang ramai.

“Lagu ini diinspirasikan daripada apa yang sering kita lalui pada pagi raya. Bermula daripada kuih yang tidak menjadi, baju tidak muat, sehinggalah pelbagai drama kecil yang pasti membuatkan pendengar rasa relatable dengan kisah sendiri,” katanya.

Tambah Zulin, single ini turut menampilkan kelainan apabila Maryam DurianKimchi diberikan tanggungjawab membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu.

“Cabaran terbesar adalah sebutan rap, namun Maryam sangat komited dan berlatih berkali-kali sehingga berjaya. Walaupun dia warga Korea, dia memberikan sepenuh jiwa dalam lagu ini,” ujarnya.

Keserasian trio yang mula mendapat perhatian menerusi program Muzikal Lawak Superstar itu ternyata tidak pudar, malah semakin utuh sepanjang proses rakaman.

Selain elemen komedi, Drama Raya turut menyelitkan mesej perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z dalam meraikan lebaran tanpa meninggalkan nilai tradisi.

Lebih menarik, lagu tersebut bakal menjadi lagu tema bagi telefilem raya lakonan mereka sendiri yang berjudul Andartu Cancel Raya yang bakal ditayangkan di saluran Astro tidak lama lagi.

Zulin berharap Drama Raya mampu menjadi pengubat rindu buat peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers, sekali gus menceriakan suasana sambutan Aidilfitri tahun ini.

Loading...