Trio Hebat Bersatu: Datuk Hattan, Hazama dan Black Siap Gempur Plenary KLCC Sabtu Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Arena muzik tempatan bakal digegarkan dengan persembahan mantap daripada tiga ikon hebat, Datuk Hattan, Hazama, dan Black dalam Konsert Hitam Manis yang bakal berlangsung di Plenary Hall, KLCC, Sabtu ini.
Ditemui media semasa sesi latihan konsert ini, ketiga-tiga bintang ini berkongsi rasa teruja dan cabaran dalam menjayakan konsert istimewa ini.
Menurut Datuk Hattan, Konsert Hitam Manis bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghargaan terhadap muzik Melayu yang terus relevan dalam era moden.
“Kami mahu penonton merasai semangat muzik Melayu yang penuh dengan jiwa. Konsert ini menggabungkan elemen tradisional dan moden, menjadikannya sesuai untuk semua lapisan generasi,” kata Datuk Hattan.
Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, juga teruja untuk berkongsi pentas dengan dua ikon besar ini, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang istimewa yang sukar dilupakan.
“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Datuk Hattan dan Black kerana kami saling memahami. ‘Chemistry’ yang ada antara kami bertiga sangat memudahkan proses persediaan walaupun ini kali pertama kami berkongsi pentas bersama,” katanya.
Black pula mengakui bahawa Datuk Hattan banyak memberi panduan sepanjang perjalanan kariernya, termasuk saat-saat awal dia bertapak dalam industri muzik.
“Dulu, Datuk Hattan selalu menjadi ‘mentor’ saya. Malah, kami pernah berkongsi bilik ketika persembahan di Sarawak dulu. Kenangan itu mengeratkan hubungan kami. Untuk konsert ini, saya bangga dapat berganding bahu dengan Datuk Hattan dan Hazama. Kami akan beri yang terbaik untuk peminat,” ujar Black.
Konsert ini bukan sekadar hiburan biasa. Setiap penyanyi akan mempersembahkan tujuh lagu solo pilihan mereka, termasuk lagu-lagu hits yang menjadi kegemaran peminat.
Datuk Hattan bakal memikat peminat dengan lagu-lagu hits seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu.
Hazama pula akan memukau penonton dengan vokalnya yang unik melalui rangkaian lagu popularnya, manakala Black bakal membakar semangat penonton dengan persembahan energetik melalui hits seperti Sofea Jane, Teman Pengganti, dan Anugerah Terindah.
Selain itu, konsert ini akan turut diserikan dengan gabungan duet dan persembahan bertiga, memberikan pengalaman luar biasa kepada penonton.
“Ada juga lagu-lagu yang kami nyanyikan bersama. Itu antara segmen yang akan menonjolkan keakraban kami di atas pentas. Penonton akan merasai kelainan dengan konsep sebegini,” kata Hazama.
Ketika ditanya tentang momen menarik di sebalik kerjasama mereka, Hazama dan Black turut berkongsi beberapa kenangan lucu dan istimewa.
“Ada cerita-cerita menarik tentang pengalaman kami yang akan dikongsikan. Peminat akan dapat melihat sisi lain kami, termasuk momen lucu dan kenangan lama,” tambah Hazama.
Black atau Hanifah Muhammad Hanafiah pula menyifatkan konsert ini sebagai platform untuk mempamerkan kematangan muzik mereka bertiga, selain mengimbau kenangan indah bersama Datuk Hattan.
“Dulu, saya rasa nyanyian saya tak matang, tapi sekarang saya dah lebih yakin. Saya sangat bersedia untuk memberikan persembahan terbaik bersama Hazama dan Datuk Hattan,” katanya.
Menariknya, konsert ini turut menampilkan pendatang baharu Adam Eiman, anak kepada Datuk Hattan, yang akan mengisi bahagian rap dalam lagu-lagu terkenal seperti Teman Pengganti nyanyian Black dan Malique, serta Gadis Jolobu hasil kolaborasi Hattan dan Waris.
Konsert yang mendapat sentuhan pengarah muzik, Genervie Kam ini adalah ruang untuk peminat menyaksikan keunikan muzik, persahabatan, dan dedikasi tiga bintang ternama tanah air.
Gabungan persembahan solo, duet, dan bertiga dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Konsert ini akan berlangsung pada Sabtu, 8 Februari 2025, jam 8 malam di Plenary Hall, KLCC. Tiket masih boleh didapati di laman rasmi ticket2u.com.my.