Trio Death Metal Brazil, Krisiun Sah Konsert Sulung Di Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 20 Jul 2025 11:48 pm

FOTO: Fernando Serani/MetalEyeWitness.
Peminat muzik ekstrem tempatan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila kumpulan death metal terkenal dari Brazil, Krisiun, disahkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 17 Ogos ini.
Konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung di Bentley Music Auditorium, Petaling Jaya dan dianjurkan oleh Livewire Event.
Krisiun yang dianggotai oleh tiga bersaudara, Alex Camargo selaku vokalis dan pemain bass, Moyses Kolesne selaku gitaris dan Max Kolesne di posisi dram, cukup dikenali dalam arena muzik ekstrem dunia menerusi album seperti Black Force Domain dan Conquerors of Armageddon.
Terbaharu, mereka tampil dengan album Mortem Solis pada tahun 2022 yang terus memperkukuhkan reputasi mereka sebagai antara kumpulan death metal paling konsisten.
“Akhirnya, selepas lebih dua dekad peminat menunggu, Krisiun sah akan menggegarkan Kuala Lumpur buat pertama kalinya. Ini bukan sekadar konsert, tetapi hadiah buat komuniti metal Malaysia yang selama ini setia menyokong,” kata wakil penganjur.
Tiket konsert dijual pada harga RM199 bagi jualan awal, RM259 bagi harga biasa dan RM299 bagi pembelian di pintu masuk. Tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi laman rasmi www.myticketempire.com/krisiunliveinkualalumpur.
Dua kumpulan tempatan, Tools of the Trade dan Dying Fate, turut dipilih sebagai pembuka tirai bagi memanaskan suasana malam tersebut.
Konsert ini terbuka kepada peminat berusia 16 tahun ke atas. Bagi mereka yang berumur antara 16 hingga 17 tahun, kehadiran perlu ditemani penjaga berusia 18 tahun ke atas.