Tragedi Ibu Penyayang: Lena Gabin Maut Dirempuh Kereta Api, Anak Cedera
- oleh Mohd Indera
- 19 jam lalu
Lena Gabin, seorang suri rumah dan mualaf, yang maut dalam insiden dilanggar kereta api semalam, dikenali sebagai seorang ibu penyayang yang setiap hari menghantar anaknya ke sekolah dengan berjalan kaki dari Kampung Muhibbah, Petagas.
Menurut Adnan Mohd Said, 47, sepupu kepada suami Allahyarham, rutin harian Lena termasuk melalui hadapan rumahnya setiap pagi.
Beliau mengakui kali terakhir melihat Lena ialah pagi semalam, sebelum menerima berita tragis itu.
“Kami mendapat berita melalui kumpulan WhatsApp keluarga kira-kira jam 1.30 tengah hari. Allahyarham setiap hari lalu depan rumah saya, dan tengah hari tadi, kami menerima khabar menyedihkan ini. Anak bongsunya turut cedera dalam kejadian dan telah dibawa ke hospital,” katanya kepada pemberita.
Memetik Bernama, Naib Presiden I Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara, Hashima Hasbullah Hashim, yang berada di lokasi kejadian, berkata beliau hanya menyedari insiden itu apabila kereta api berhenti secara tiba-tiba semasa dalam perjalanan mengambil anaknya dari sekolah.
“Saya perasan kereta api berhenti mengejut, dan tiada bunyi hon yang kedengaran semasa kejadian. Saya dan orang ramai segera membantu anak mangsa sementara menunggu ambulans tiba,” katanya.
Kejadian yang berlaku tidak jauh dari kawasan kediaman itu telah mengejutkan komuniti Kampung Muhibbah, yang mengingati Lena sebagai seorang ibu yang berdedikasi terhadap keluarganya.