Pelakon muda Tracie Sinidol, 23, mengakui bahawa soal jodoh bukanlah keutamaan buat masa ini, sebaliknya mahu memberikan fokus penuh kepada kerjaya lakonannya.
Menurut bintang drama Luruhnya Bunga Cinta, keputusannya menceburi dunia seni adalah demi membanggakan keluarga dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.
“Saya masih muda dan fokus saya adalah kepada kerjaya untuk banggakan keluarga. Niat saya masuk dunia lakonan pun sebab nak beri kehidupan yang bagus kepada keluarga,” kata Tracie ketika ditemui dalam satu majlis bersama pelakon Luruhnya Bunga Cinta 2 yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambahnya, dia mahu memastikan setiap langkah dalam kariernya selari dengan menjaga nama baik keluarga.
“Bila saya ada di sini sebagai anak seni, fikiran saya cuma nak berjaya dan menjaga nama baik saya dan keluarga. Saya fikirkan perkembangan karier saya.”
Bagaimanapun, Tracie tidak menolak soal cinta jika dia bertemu dengan seseorang yang berkongsi matlamat yang sama.
“Kalau saya jumpa seseorang pun, saya mahu lelaki yang bersama-sama saya untuk capai impian sebab saya ni kalau suka seseorang, saya akan fikir ke hadapan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai ciri-ciri pasangan idaman, Tracie menyatakan dia tertarik kepada lelaki yang prihatin, lemah-lembut, dan menghormati dirinya.
“Saya suka lelaki yang prihatin, lemah-lembut dan tidak merendahkan saya. Contohnya bila saya tak tahu sesuatu perkara, dia akan memberi tunjuk ajar.
“Selain itu, dia juga menginginkan seorang lelaki yang mempunyai pegangan agama yang kuat dan bersikap pelindung.
“Lelaki itu juga perlu dekat dengan Tuhan dan sosok seperti seorang bapa yang menjaga anaknya,” katanya lagi.
Tracie kini dilihat semakin bersinar dalam industri seni tanah air dan terus mengorak langkah sebagai salah satu pelakon muda yang menjanjikan masa depan cerah.