ToYm Tutup Tirai Pertandingan Skrip dan Drama Mikro dengan Kejayaan Gemilang
- oleh Mohd Indera
- 3 jam lalu

Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik anjuran Thousands of Years Media (ToYm) melabuhkan tirai dengan penuh gilang-gemilang dalam sebuah majlis anugerah yang berlangsung pada malam Ahad di Majestic Marine Ballroom @ Confetti KL, Mines 2.
Acara yang dipersembahkan bersama oleh Sunstrong Entertainment, ToYm Wardrobe, WMD dan Flowers.com.my itu telah menghimpunkan lebih 300 tetamu, termasuk pencipta kandungan, penggiat industri filem serta wakil media dari dalam dan luar negara.
Sejak penyertaan dibuka, pertandingan ini berjaya menarik lebih 300 penyertaan daripada penulis skrip dan penggiat seni kreatif dari Malaysia, China, Hong Kong dan Taiwan, sekali gus memperkukuh kedudukan ToYm sebagai penganjur berprestij di peringkat serantau.
Pengasas ToYm dan Sunstrong Entertainment, Jment Lim, dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa pertandingan ini menjadi platform penting untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu dalam dunia penulisan dan produksi kandungan tempatan.
“Walaupun dunia ini tidak sempurna, selagi kita sanggup bertanggungjawab dan melakukan bahagian kita, kita tetap mampu menjadikan dunia kita sendiri, serta seluruh dunia – lebih baik sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen ToYm dalam melabur untuk pembangunan industri kreatif melalui penganjuran pelbagai program seperti Pertandingan Idol Bintang Baharu, Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik.
ToYm dan Sunstrong Entertainment sebelum ini turut mencipta kejayaan menerusi filem Snow in Midsummer yang memenangi dua anugerah antarabangsa termasuk “Uncaged Award for Best Feature Film” di Festival Filem Asia New York ke-23 dan “Firebird Award for Best Film” dalam kategori “Young Cinema Competition (Chinese-Language)” di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-48.
Filem tersebut juga telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice, sekali gus memperkenalkan karya Malaysia ke pentas global.
Sementara itu, drama mikro In Character yang diterbitkan oleh ToYm turut mencatat kejayaan apabila diiktiraf sebagai drama mikro bahasa Cina pertama di Malaysia dengan jumlah tontonan melebihi 14 juta, menjadikannya penanda aras baharu dalam industri kandungan digital negara.
Dalam perkembangan sama, Jment Lim turut mengumumkan perancangan ToYm untuk menerbitkan sekurang-kurangnya lima lagi drama mikro baharu dalam pelbagai genre dan bahasa, termasuk karya berbahasa Melayu dan bertemakan perayaan.
Majlis anugerah turut menyaksikan kemunculan rasmi artis wanita pertama ToYm, Fatimah Noryyah, yang memikat perhatian hadirin dengan persembahan lagu Always Remember Us This Way, Bukan Cinta Biasa dan lagu klasik Mandarin Tibetan Plateau, sekali gus menyerlahkan bakat versatilnya dalam tiga bahasa.
Berikut adalah senarai pemenang utama kedua-dua pertandingan:
Pemenang Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro ToYm:
- Hadiah Utama: Murderous Girl – RM30,000
- Naib Juara: The Invisible Killer – RM20,000
- Sagu Hati (RM5,000 setiap satu): GOKILL, Kepada Pelajar Baru, Office Battle Royale, A Very Tiring Day, Healing Hearts
Pemenang Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm:
- Hadiah Utama: The Girl from the Other Side of the Galaxy oleh Yap Khai Jing – RM100,000
- Naib Juara: STEP BACK oleh Khairi Hizami Bin Zalani – RM50,000
- Sagu Hati (RM10,000 setiap satu): The Delivery Vault (Emagina Studio), Devour (Chew Huat Yeow), Miss Ctrl+Z (Felix Tai Voon Beng), Satu Malam di PJ (Haffez Amin / Codils Media & Rights Eye Army Legacy), She Is Coming (Goh Cheng How)
Majlis anugerah ini sekaligus mengukuhkan komitmen ToYm dalam melahirkan lebih ramai pengkarya kreatif tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan digital serantau yang dinamik dan berdaya saing.