TOYM 2026 Terbuka Kepada Semua Rakyat Malaysia, Bukan Milik Satu Kaum
- oleh MDaily Editor
- 4 Apr 2026 6:43 pm
Anugerah berprestij 2026 JCI Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) bukan hanya milik satu kaum, sebaliknya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi Penganjur JCI Malaysia TOYM 2026, Rice Sow Milee berkata, anugerah tersebut menyasarkan hampir 200 penyertaan daripada belia berusia antara 18 hingga 40 tahun yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang serta memberi impak positif kepada masyarakat.

“TOYM bukan untuk satu kaum sahaja. Ia untuk semua rakyat Malaysia – Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain. Asalkan anda rakyat Malaysia dan berusia antara 18 hingga 40 tahun, anda layak dicalonkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di ibu negara hari ini.
Untuk rekod TOYM 2026 mengangkat tema “Satu Bangsa, Satu Wawasan” (One Nation, One Vision), antara lain bertujuan mengiktiraf golongan muda cemerlang yang menyerlah dalam bidang masing-masing, termasuk usahawan, profesional, pembawa perubahan (changemakers) dan pemimpin masyarakat.
Tempoh pencalonan dibuka bermula 1 Februari hingga 31 Mei 2026, dengan sasaran sekurang-kurangnya 200 penyertaan dari pelbagai latar belakang.
Berikut itu, beliau menjelaskan, usaha sedang dipergiat bagi memastikan penyertaan lebih inklusif selepas mendapati statistik sebelum ini menunjukkan dominasi pencalonan daripada satu kaum sahaja, berikutan pendekatan pemasaran yang terhad.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, sekitar 120 pencalonan diterima dan sebahagian besar daripadanya datang daripada komuniti tertentu.
“Jadi tahun ini, kami memperluaskan pendekatan dengan melibatkan lebih banyak NGO dan komuniti pelbagai kaum bagi memastikan peluang ini diketahui secara meluas,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak penganjur menyasarkan sekurang-kurangnya 200 pencalonan bagi edisi 2026, sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat.
Dalam masa sama, Rice turut menegaskan bahawa anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan individu, malah memberi peluang kedua kepada golongan muda yang pernah melalui kesilapan hidup untuk bangkit dan menyumbang kepada komuniti.
“Kita percaya setiap anak muda berpotensi untuk berubah. Walaupun ada yang pernah melakukan kesilapan, itu tidak bermakna masa depan mereka tertutup. Yang penting adalah usaha memperbaiki diri dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut berkongsi contoh individu muda yang pernah melalui pengalaman sukar ketika remaja, namun berjaya mengubah kehidupan dan kini aktif membantu komuniti serta menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.
“Ini menunjukkan bahawa TOYM bukan sekadar mencari yang sempurna, tetapi mereka yang berani bangkit, berubah dan memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mencalonkan individu yang layak atau tampil sendiri sebagai calon bagi memastikan lebih ramai bakat muda Malaysia diketengahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.




