Tomok Nasihat Artis Baru Berhati-Hati Dengan Janji Penganjur ‘Kaki Kencing’
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, menasihatkan para artis baru agar lebih berhati-hati dalam memilih penganjur konsert.
Tomok, yang memiliki pengalaman luas dalam industri muzik, mengakui bahawa fenomena penganjur menjanjikan bulan dan bintang kepada artis bukanlah perkara baharu.
Menurutnya, ada sesetengah penganjur yang sering memujuk penyanyi baru untuk mengadakan konsert, namun kurang menitikberatkan aspek yang sepatutnya.
“Saya tidak nafikan perkara ini memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur yang suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert,” katanya.
Tomok menambah, ramai artis baru sebenarnya masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengadakan konsert solo, namun dipengaruhi oleh janji manis pihak penganjur.
“Penganjur pula seakan memberikan harapan dan bulan bintang,” tambahnya lagi.
Baginya, apabila berlaku masalah yang tidak diingini, ia adalah artis yang paling terkesan, meskipun kesilapan mungkin datang dari pihak penganjur.
Tomok turut mengingatkan bahawa artis seharusnya mengambil tahu latar belakang dan pengalaman penganjur sebelum bekerjasama bagi mengelakkan risiko.
“Sebagai artis kita kena ambil tahu juga latar belakang dan pengalaman pihak penganjur,” ujarnya lagi.
Menyentuh tentang kes-kes yang pernah terjadi, Tomok tidak menafikan bahawa ‘kaki kencing’ atau pihak yang menipu dalam soal pembayaran masih wujud dalam industri hiburan tempatan.
“Kalau ikutkan memang banyak kes seperti ini berlaku, orang-orang yang suka mengambil kesempatan ini wujud dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Tomok menjelaskan ada penganjur yang menjemput artis untuk membuat persembahan, namun kemudian menghilang tanpa membayar bayaran yang dijanjikan.
Bagi Tomok, penting bagi artis baru agar tidak terlalu mudah mempercayai janji-janji manis penganjur dan memastikan perjanjian adalah jelas untuk melindungi hak mereka dalam industri yang mencabar ini.
Terdahulu, Tomok ditemui di sidang media Konsert Memori Mungkin Berulang bersama Siti Nordiana yang akan diadakan pada 1 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, yang dianjurkan di bawah labelnya sendiri, Popsicle Records.
Konsert ini akan membawa lagu-lagu popular yang merangkumi dua dekad perjalanan seni mereka, menghidupkan kembali nostalgia peminat.
Tiket boleh dibeli menerusi platform Ticket2u, konsert ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan separuh tiket sudah habis terjual dalam minggu pertama.
Foto Oleh : Pa Pa Din (Amoz)