Ikuti Kami:

Tomok dan Siti Nordiana Memukau di Zodiac Theater, Genting Dream Cruise

Tomok dan Siti Nordiana Memukau di Zodiac Theater, Genting Dream Cruise

Zodiac Theater di Deck 7 FWD kapal persiaran mewah Genting Dream menjadi saksi kehebatan dua ikon muzik Malaysia, Tomok dan Siti Nordiana, yang memukau lebih daripada 600 penonton pada 20 Januari lalu.

Persembahan ini merupakan sebahagian daripada program LIVE MUSIC @ SEA, yang berlangsung sempena pelayaran 3 Hari 2 Malam dari Singapura ke Melaka.

Dengan durasi persembahan hampir dua jam, Tomok dan Siti Nordiana berjaya menghidupkan suasana panggung dengan rangkaian lagu-lagu hit mereka.

Kehebatan vokal dan karisma kedua-dua penyanyi ini membuatkan para penonton, termasuk tetamu dari pelbagai latar belakang, terpukau dan memberikan sambutan yang hangat.

Tomok, yang pertama kali membuat persembahan di atas kapal persiaran mewah, meluahkan rasa bangga dan syukur atas pengalaman unik ini.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah pengalaman pertama saya membuat persembahan di atas kapal besar dan mendapat respon yang sangat positif,” ujarnya.

Bagi Siti Nordiana pula, persembahan ini merupakan detik yang penuh emosi kerana ia menghidupkan impiannya untuk tampil di Zodiac Theater, tempat yang pernah dikunjunginya sebagai penonton.

“Ini satu pengalaman yang sangat unik, sebab sebelum ini saya pernah datang sebagai penonton. Tapi kali ini, impian saya menjadi kenyataan sebab dapat membuat persembahan di tengah lautan. Rasanya sangat ‘rare’, dan saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima,” kata penyanyi itu dengan penuh teruja.

Persembahan mereka juga menampilkan lagu-lagu duet popular seperti “Memori Mungkin Berulang” dan lagu duet Siti Nordiana bersama arwah Acik Spin seperti “Memori Berkasih,” dan “Paling Comel” yang menggamit nostalgia penonton.

Sambutan yang luar biasa ini turut membuka peluang untuk mereka menarik peminat baru di kalangan tetamu kapal.

“Kami dapat banyak peminat baru yang mungkin sebelum ini tak banyak ambil tahu tentang kami,” tambah Tomok dengan rasa syukur.

Persembahan ini juga dianggap sebagai pemanas badan bagi konsert mega mereka yang akan datang, Konsert Siti Nordiana dan Tomok: Memori Mungkin Berulang, yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari depan.

Kejayaan persembahan di Zodiac Theater ini bukan sahaja mencipta kenangan manis buat Tomok dan Siti Nordiana tetapi juga membuktikan kemampuan mereka untuk terus memukau hati peminat dalam suasana yang luar biasa.

Sebagai Kapal Perairan mesra halal, Genting Dream menawarkan pengalaman bercuti yang luar biasa, lengkap dengan aktiviti seperti taman tema air, rock climbing, ziplines, dan kemudahan mesra halal seperti restoran halal dan ruang solat, menjadikan ia percutian lengkap untuk semua.

Dengan pencapaian ini, Resorts World Cruises berharap untuk terus menganjurkan lebih banyak program menarik di masa hadapan, memastikan hiburan kelas dunia di tengah lautan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web https://rwcruises.com/

Komen
Loading...