Ikuti Kami:

Tomei Lancar ‘Pulang’, Gaya Minimalis Pilihan Anna Jobling

Tomei Lancar ‘Pulang’, Gaya Minimalis Pilihan Anna Jobling

Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, pengeluar barang kemas terkemuka, Tomei, melancarkan koleksi Hari Raya 2026 bertemakan ‘Pulang, The Joy I Carry Home’ yang membawa mesej mendalam mengenai nostalgia dan nilai peribadi.

Kempen kali ini kembali memaparkan pelakon popular, Anna Jobling, sebagai duta jenama yang menterjemahkan sisi lembut dan elegan seorang wanita menerusi koleksi emas dan berlian terbaharu.

Anna, yang memasuki tahun kedua kolaborasinya bersama Tomei, mengakui citarasa peribadinya terhadap barang kemas lebih cenderung kepada rekaan yang ringkas namun tetap mempunyai sentuhan eksklusif.

“Saya sebenarnya peminat emas sejak kecil dan mula mengumpul koleksi sendiri. Untuk raya kali ini, saya memilih rekaan yang lebih mudah dan minimalis kerana ia sesuai digayakan oleh semua peringkat umur dan dalam apa jua suasana.

“Kualiti adalah keutamaan saya. Saya sangat percayakan Tomei kerana rekaannya sangat selamat, berkualiti tinggi dan tidak mudah rosak walaupun dipakai untuk aktiviti harian,” katanya pada majlis pelancaran koleksi itu di Ibu Pejabat Tomei, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Transformasi Tomei, Ng Yi Jia berkata, tema ‘Pulang’ dipilih kerana ia merupakan satu keinginan yang dekat di hati setiap insan, terutamanya dalam membawa pulang kegembiraan kepada keluarga atau diri sendiri.

“Kami mahu setiap kepingan barang kemas ini bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada kisah hidup pemakainya. Walaupun harga emas kini menunjukkan trend peningkatan, kami tetap menawarkan rangkaian harga yang luas bermula dari RM1,000 sehingga RM100,000 bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza,” katanya.

Menerusi kempen ini, Anna tampil mempersona dalam empat gaya berbeza yang memadankan koleksi utama seperti Sri Puteri, Diamond Cut, Anastasia dan Tomei Diamond Collection.

Bagi memeriahkan sambutan, pelanggan yang membuat pembelian bermula 6 Februari ini berpeluang menikmati promosi eksklusif termasuk barangan pemberian percuma (GWP) berupa beg tote istimewa sementara stok masih ada.

Koleksi Raya 2026 kini boleh didapati di semua butik Tomei di seluruh negara serta platform dalam talian rasmi mereka.

Komen
Loading...