TNB Pulangkan 60% Keuntungan kepada Rakyat, Pacu Masa Depan Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga negara dengan memastikan keuntungan syarikat memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.
Dengan 60% daripada keuntungan diagihkan semula melalui dividen kepada institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), TNB memainkan peranan penting dalam menjana kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid, menegaskan bahawa kejayaan kewangan syarikat bukan semata-mata untuk kelangsungan perniagaan tetapi turut dipulangkan kepada rakyat.
Melalui GLIC seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH), dividen yang diagihkan oleh TNB memberi manfaat kepada berjuta rakyat Malaysia, termasuk pesara dan generasi akan datang.
Selain itu, TNB terus melaksanakan inisiatif yang meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk Program Lampu Jalan Kampung yang telah memberikan manfaat kepada penduduk luar bandar sejak tahun 2000.
Sehingga kini, lebih 525,000 lampu jalan telah dipasang di seluruh negara, dan pada tahun 2024, sebanyak 14,210 lampu LED cekap tenaga ditambah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Usaha ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan kesalinghubungan penduduk luar bandar tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi di kawasan terbabit.
TNB juga memberi jaminan bahawa kadar tarif elektrik kekal terkawal dan tidak dipengaruhi oleh keuntungan syarikat. Dengan pelaburan berterusan dalam kecekapan grid dan tenaga boleh baharu, TNB memastikan kadar tarif kekal berpatutan serta mengelakkan kenaikan yang tidak munasabah.
Program seperti insentif solar dan tarif mengikut masa penggunaan turut diperkenalkan bagi membantu rakyat mengurus perbelanjaan elektrik dengan lebih cekap.
Dalam usaha memperkukuh masa depan tenaga negara, TNB terus melabur dalam tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, dan hidrogen hijau.
Selain itu, pemodenan grid nasional dan penyelesaian tenaga pintar turut dipertingkat bagi memastikan tenaga bersih lebih mudah diakses serta mampu milik untuk semua.
Selaras dengan visi kerajaan MADANI, bil elektrik bagi 85% rakyat Malaysia yang menerima subsidi akan dilabelkan sebagai “hijau” bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tenaga lestari.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, menekankan bahawa kejayaan TNB bukan sekadar keuntungan, tetapi juga tentang memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat.
Dengan pelaburan strategik dan komitmen terhadap kelestarian, TNB terus menerangi masa depan negara dan memastikan kemajuan Malaysia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.