Ikuti Kami:

Tipe-X Bawa Semangat Ska Punk Ke Jiospace, Tiket Bermula RM170

Tipe-X Bawa Semangat Ska Punk Ke Jiospace, Tiket Bermula RM170

Legenda ska punk dari Indonesia, Tipe-X, bakal mencetus semangat pesta dan nostalgia apabila mereka kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert eksklusif “SKALUT PARTY” yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos 2025 di Jiospace, Petaling Jaya.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, konsert ini bukan sahaja meraikan tiga dekad perjalanan muzik Tipe-X malah menjadi medan buat peminat setia menyaksikan sendiri kehebatan mereka secara langsung setelah sekian lama tidak beraksi di tanah air ini.

Menghangatkan lagi suasana malam tersebut, dua kumpulan pembuka tempatan yang cukup sinonim dengan genre ska dan alternatif iaitu Ampunk Syndicate dan Banyak Bunyik Republic turut akan beraksi sebagai pembuka tirai.

Kedua-dua band ini dijangka memanaskan pentas dengan gaya muzik penuh bertenaga sebelum kemunculan Tipe-X.

“Kami bawakan SKALUT PARTY khas untuk peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal lagi. Persembahan ini bukan sekadar hiburan tetapi juga satu penghormatan kepada legasi ska punk di rantau ini,” kata Talib Othman, Pengarah Rockstage Entertainment.

Ditubuhkan pada awal 1990-an, Tipe-X dikenali dengan gabungan unik ska, punk dan reggae. Mereka melonjak popular menerusi album Ska Phobia (1999), diikuti karya-karya lain seperti Mereka Tak Pernah Mengerti, Super Surprise dan Seven. Lagu seperti Genit, Salah, Mawar Hitam dan Selamat Jalan menjadi anthem generasi pencinta muzik alternatif.

Tipe-X kini dianggotai oleh Tresno Riadi (vokal), Anto (bass), Billy (gitar), Arie Hardjo (dram), Micky (trombone), Yoss (saksofon) dan Andi (trompet).

Gabungan alat muzik tiupan dengan rentak pantas dan melodi catchy mencipta identiti mereka yang tersendiri sekaligus membina komuniti peminat yang melangkaui sempadan.

Lokasi konsert Jiospace PJ dipilih kerana kemudahan moden, kapasiti yang sesuai dan lokasinya yang strategik di tengah-tengah nadi hiburan ibu kota.

Persembahan kali ini dijangka tampil dengan sistem bunyi dan pencahayaan canggih yang menjanjikan pengalaman konsert yang lebih immersive dan bertenaga.

Tiket untuk menyaksikan “SKALUT PARTY” boleh dibeli di laman web www.myticketempire.com dengan harga bermula serendah RM170 hingga RM208, bergantung kepada kategori dan waktu pembelian.

Para peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan tinggi dijangka terutama bagi zon berhampiran pentas.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai konsert ikuti saluran media sosial rasmi Tipe-X dan Rockstage Entertainment.

Komen
Loading...