Tiket ‘Presale’ Konsert Rock Car Park Laris Terjual, Bloodshed Sah Sertai Barisan Utama
- oleh MDaily Editor
- 8 Mar 2026 11:44 pm
Jualan tiket peringkat awal atau presale bagi Konsert Rock Car Park yang dijadualkan berlangsung di Rooftop Kompleks Campbell, 9 Mei depan, mendapat sambutan memberangsangkan apabila mencecah 1,000 keping terjual dalam tempoh singkat.
Penganjur, Nyla Network Sdn Bhd, memaklumkan sambutan luar jangka itu membuktikan kerinduan peminat terhadap irama ‘rock kapak’ masih menebal, sekali gus menyuntik semangat buat penganjur untuk memastikan acara tersebut berjalan lancar.

Pengarah Urusan Nyla Network Sdn Bhd, Muhamad Najmi bin Abdul Rahim, berkata selain sambutan presale yang positif, konsert itu turut menamatkan spekulasi mengenai penglibatan kumpulan legenda, Bloodshed.
“Terdahulu, timbul sedikit salah faham berkaitan penyertaan Bloodshed, namun kami sudahpun menyelesaikan isu komunikasi tersebut. Kini, kami dengan sukacitanya mengesahkan Bloodshed akan beraksi di pentas Rock Car Park bersama barisan artis lain.
“Kami sedia maklum Bloodshed sudah memberikan komitmen penuh untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat setia mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Tasik Puteri Golf and Country Club, di sini, hari ini.
Sementara itu, vokalis Bloodshed, Muzam, ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut menjelaskan bahawa perkara itu hanyalah salah faham komunikasi dalaman dan kini telah diselesaikan dengan baik.

“Segala kekeliruan sudah pun selesai. Fokus kami kini adalah untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat. Insya-Allah, kami akan membawakan lagu-lagu popular daripada tiga album kami.
“Selain itu, kami sedang dalam persiapan rapi dan latihan bagi memastikan persembahan terbaik pada malam konsert nanti,” katanya.
Line-up terkini Bloodshed kini terdiri daripada Hamdan (gitar), Yudi (keyboard), Said (bass), Bad (dram) dan Muzam sebagai vokalis.
Tambah Najmi, bagi peminat yang terlepas peluang mendapatkan tiket presale secara dalam talian, pihak penganjur akan mengadakan siri jelajah showcase di tiga zon iaitu Nilai, Ipoh dan Dataran Merdeka (Central).
“Hanya mereka yang hadir ke siri jelajah ini berpeluang mendapatkan harga tiket presale. Kita menyasarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 5,000 penonton bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan di lokasi terbuka itu terjaga,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, penganjur kini sedang dalam proses rundingan akhir bagi membawa masuk satu lagi band legenda yang bakal diumumkan selepas Aidilfitri.
Konsert Rock Car Park bakal menyaksikan persembahan daripada kumpulan May, Wicitra, Shasha and The Boys dan Bloodshed sebagai barisan utama.
Selain persembahan utama, penganjur turut menyuntik kelainan dengan menganjurkan program ‘Battle of the Celop Band’ sebagai inisiatif memeriahkan suasana sejak pintu dibuka bermula jam 4 petang.
Tiket Early Bird boleh didapati di laman web Ticket2u dengan harga RM120 dan tiket fizikal boleh didapati melalui Mentari Merah di talian 0192407994




