Ikuti Kami:

Tiket Laris! Afgan Janji Persembahan Penuh Emosi di Zepp Kuala Lumpur

Tiket Laris! Afgan Janji Persembahan Penuh Emosi di Zepp Kuala Lumpur

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, terus membuktikan pengaruh luar biasanya apabila jualan tiket Afgan Retrospektif Showcase menerima sambutan hangat daripada peminat di Malaysia.

Showcase eksklusif yang bakal berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur itu mencatatkan jualan memberangsangkan sebaik sahaja tiket mula dijual pada 1 Oktober lalu, sekaligus menandakan keterujaan peminat untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka itu kembali ke pentas tempatan dengan konsep persembahan yang lebih intim dan peribadi.

Menurut wakil penganjur, Renjana Idea menerusi Azlina, pihaknya meluahkan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan sejak tiket mula dijual.

“Sambutan yang kami terima sangat positif dan pantas. Ia membuktikan betapa besar pengaruh Afgan serta keterujaan peminat untuk menyaksikan persembahan istimewa ini. Kami amat berterima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus,” katanya.

Showcase yang diadakan bersempena pelancaran album terbaharu Afgan berjudul Retrospektif itu melambangkan perjalanan hidup serta kariernya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik. Album ini benar-benar mewakili perjalanan peribadi dan muzik saya,” ujar Afgan.

Album Retrospektif membawa nilai sentimental kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan dalam tempoh tujuh tahun. Penyanyi berusia 36 tahun itu menganggap ia sebagai titik balik kepada genre pop Indonesia yang membesarkan namanya.

“Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini. Jadi, Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul dan sebagai lambang kembalinya saya kepada akar muzik sebenar,” jelasnya.

Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan menyifatkan Kuala Lumpur sebagai rumah keduanya kerana sokongan luar biasa peminat tempatan.

“Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Saya mahu peminat di sini turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini. Sebab itu saya memilih Malaysia untuk showcase ini,” katanya.

Showcase tersebut bakal menampilkan gabungan lagu baharu daripada album Retrospektif dan rangkaian lagu popularnya seperti Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Panah Asmara, dan Bukan Cinta Biasa.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase dijual menerusi www.golive-asia.com dengan harga RM1,398 (VIP Box), RM798 (Premium Seat), RM698 (Normal Seat), RM398 (VIP Standing) dan RM358 (General Standing).

Komen
Loading...