Ikuti Kami:

Tiket Konsert Insomniacks ‘Echoes Of A Dream’ Habis Terjual Dalam Tempoh Empat Jam

Tiket Konsert Insomniacks ‘Echoes Of A Dream’ Habis Terjual Dalam Tempoh Empat Jam

Tiket konsert solo pertama kumpulan pop-rock terkenal, Insomniacks, yang bertajuk Echoes of a Dream: Insomniacks Live in Concert, habis dijual dalam tempoh kurang daripada empat jam selepas jualan dibuka secara rasmi pada petang Isnin.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 12 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur itu nyata menerima sambutan luar biasa daripada peminat, sekali gus membuktikan populariti kukuh kumpulan yang mula mencipta nama sejak 2015 itu.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, beliau meluahkan rasa terharu dan bangga dengan sokongan luar biasa yang diberikan oleh peminat setia Insomniacks.

“Kami di SAH Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat Insomniacks. Sambutan yang diterima amat luar biasa sehingga semua tiket habis dijual dalam masa kurang empat jam. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan, bukan sahaja untuk Insomniacks tetapi juga bagi industri muzik tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu bakal menyaksikan Iqie (Syed Mir Iqbal), Iskandar (Wan Arif Iskandar) dan Danial (Danial Lee Hashim) meraikan satu dekad perjalanan seni mereka bersama para peminat menerusi sebuah persembahan berskala besar.

Echoes of a Dream juga dijangka menampilkan persembahan bertenaga dengan gabungan teknologi audio visual moden, sekaligus membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Insomniacks yang penuh emosi dan kenangan.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk hits popular seperti Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Belum Mulai.

Insomniacks sebelum ini mencatatkan kejayaan membanggakan apabila lagu Pulang menjadi lagu tempatan paling lama bertahan dalam carta serta paling banyak distrim pada tahun 2019.

Peminat yang berjaya mendapatkan tiket kini hanya menantikan kemunculan malam penuh bersejarah itu, yang dijangka menjadi antara konsert paling ikonik tahun ini.

Komen
Loading...