Tiket Konsert Hafiz Suip Kini Mampu Milik, Penampilan Istimewa Adira Suhaimi & Umai
- oleh Mohd Indera
- 1 Oct 2025 12:49 am

Peminat Hafiz Suip kini boleh menarik nafas lega apabila harga tiket konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip diturunkan, sekali gus menjadikan ia lebih mampu milik untuk semua lapisan penonton.
Pengumuman itu dibuat oleh pihak penganjur, SAH Entertainment, selepas menerima tajaan daripada tiga syarikat tempatan iaitu Bienz, Solustra Perfum dan Finura.
Konsert yang bakal diadakan pada 1 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur ini menjanjikan malam penuh emosi dengan rangkaian lagu hit Hafiz sepanjang 16 tahun perjalanan karier seninya.
Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, langkah menurunkan harga tiket ini sebagai tanda penghargaan terhadap kesetiaan peminat.
“Dengan sokongan penaja, kami ingin memastikan lebih ramai peminat dapat hadir. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu penghargaan buat mereka yang bersama Hafiz sejak awal kariernya,” katanya semasa sidang media khas di St. Giles Boulevard Hote pada malam Selasa.
Dalam pada itu, Hafiz atau nama penuhnya Mohd Hafiz bin Mohd Suip, 35, meluahkan rasa syukur dengan inisiatif ini yang menurutnya amat penting bagi peminat luar Lembah Klang.
“Alhamdulillah dan saya sebenarnya cukup prihatin kerana saya faham ada peminat yang datang dari jauh, termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Ada yang bertanya bagaimana dengan kos tiket, penginapan, pengangkutan dan sebagainya. Itu yang buat saya terfikir untuk berbincang dengan pihak SAH Entertainment iaitu Sufi dan Azim.
“Akhirnya dengan bantuan sahabat-sahabat penaja, perkara ini dapat direalisasikan. Terima kasih banyak-banyak kepada mereka dan juga media yang menyokong,” katanya..
Selain persembahan solo Hafiz, konsert turut menampilkan Adira Suhaimi dan Umai sebagai artis undangan istimewa yang bakal menambahkan kehangatan malam bersejarah tersebut.
Lebih 4,000 penonton dijangka membanjiri Mega Star Arena bagi menyaksikan persembahan ini yang dianggap kemuncak perjalanan seni Hafiz Suip.
Harga tiket terkini bermula RM148 sehingga RM588 dan tiket boleh didapati melalui laman rasmi Ticketmelon.
Untuk maklumat lanjut, peminat boleh menghubungi SAH Entertainment di e-mel [email protected]