Tiket Konsert Gergasi MR.DIY Habis Dalam Sehari, 2,540 Tiket Tambahan Ditawarkan 14 & 15 Jun
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Tiket ke Konsert Gergasi MR.DIY sempena ulang tahun ke-20 syarikat itu habis ditebus dalam tempoh hanya satu hari pada 31 Mei lalu, mencetuskan keterujaan luar biasa di kalangan peminat dan pengguna di seluruh negara.
Konsert mega yang dijadual berlangsung pada Jumaat, 11 Julai 2025 di Stadium Merdeka itu akan menampilkan barisan artis popular tanah air dan dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar tahun ini.
Menyedari sambutan hangat dan permintaan luar biasa daripada orang ramai, pihak penganjur mengumumkan penambahan 2,540 tiket eksklusif sebagai tanda penghargaan kepada sokongan hebat para pelanggan.
Menurut kenyataan MR.DIY, tiket tambahan ini boleh ditebus pada 14 dan 15 Jun melalui kempen pembelian minimum RM40 di mana-mana cawangan MR.DIY seluruh negara.
“Pelangan hanya perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada poster rasmi di dalam kedai atau melayari laman web rasmi MR.DIY untuk mengakses borang penebusan. Penebusan adalah berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’,” kata kenyataan itu.
Konsert yang membawa tema “Satu Pentas. Satu Malam. Satu Peluang.” ini tidak akan mempunyai siaran ulang atau konsert kedua, menjadikannya satu-satunya peluang untuk para peminat menyaksikan persembahan secara langsung daripada barisan artis ternama dalam suasana penuh gemerlapan.
Acara ini dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dan menjadi sorotan utama dalam kalendar hiburan negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai penebusan tiket dan pengumuman terkini, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.mrdiy.com/concert2025 atau mengikuti akaun Facebook dan Instagram rasmi MR.DIY.