
Konsert 25 Tahun Inteam mencatat sejarah apabila tiketnya habis terjual dalam masa dua jam selepas dibuka pada Khamis lalu.
Tiket-tiket tersebut dijual menerusi aplikasi Khair dan laman web rasmi kasihkekasih.com, yang masing-masing mencatatkan lonjakan trafik luar biasa dengan hampir 100,000 pengunjung unik serentak dan 82,000 muat turun aplikasi dalam tempoh dua hari.
Ketua Kumpulan dan Pengasas Inteam Records, Hazamin Harun, menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa ini.
“Alhamdulillah, ini adalah bukti bahawa nasyid masih gemilang dan terus relevan. Terima kasih atas sokongan padu yang diberikan. Kami juga memohon maaf kepada mereka yang tidak berjaya mendapatkan tiket,” katanya.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 27 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur ini akan mempersembahkan pelbagai lagu hits seperti Kasih Kekasih, Hanya Takdir, dan Rabiatul Adawiyah, di samping beberapa elemen kejutan.
Inteam Records mengucapkan penghargaan kepada semua peminat atas sokongan luar biasa dan berharap konsert ini akan menjadi malam yang penuh bermakna untuk meraikan perjalanan seni mereka selama 25 tahun.
Kali terakhir Inteam mengadakan konsert ialah pada tahun 2020 menerusi Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati yang berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang secara atas talian.
Konsert tersebut mendapat sambutan hangat daripada peminat meskipun diadakan dalam suasana norma baharu.
Inteam terdiri daripada empat ahli utama, iaitu Hazamin Harun, Syahril Khalid, Abdul Rahim, dan Hisyam Ahmad. Sejak penubuhannya, kumpulan ini telah menghasilkan pelbagai karya yang mendapat tempat di hati peminat muzik nasyid.