Ikuti Kami:

Tiket ‘Janji With Dayang’ Laris Dalam Masa Singkat

Tiket ‘Janji With Dayang’ Laris Dalam Masa Singkat

Persembahan eksklusif Janji With Dayang mencipta kejutan apabila semua kategori tiketnya habis terjual dalam masa yang singkat selepas jualan dibuka kepada umum tepat jam 12 tengah hari tadi.

Konsert yang bakal berlangsung di dua lokasi utama, Penang dan Kuala Lumpur, menampilkan penyanyi kesayangan negara, Dayang Nurfaizah, yang terus membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik tanah air.

Fenomena jualan pantas ini menunjukkan permintaan tinggi daripada peminat untuk menyaksikan persembahan istimewa yang dijangka penuh emosi dan magis daripada penyanyi bersuara emas itu.

Penganjur acara, Usanita Entertainment dan Mask Team, melahirkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat.

“Kami amat teruja melihat sambutan luar biasa ini dan sedang merancang untuk menambah tiket persembahan bagi kedua-dua lokasi. Nantikan pengumuman lanjut menerusi media sosial,” menurut kenyataan rasmi pihak penganjur.

Kejayaan jualan tiket ini membuktikan bahawa Dayang masih menjadi pilihan utama peminat muzik tempatan dan kehadiran beliau di pentas tetap dinanti dengan penuh semangat.

Konsert istimewa ini akan berlangsung di dua lokasi ikonik:

  • 23 Ogos 2025 (Sabtu), jam 5 petang di Top View, KOMTAR, Pulau Pinang
  • 27 September 2025 (Sabtu), jam 8 malam di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur

Penyanyi tersohor negara, Dayang Nurfaizah, bakal menghiburkan peminat dengan persembahan yang dijangka penuh emosi, keintiman dan magis, dalam suasana eksklusif berlatarbelakangkan pemandangan indah dua mercu tanda negara.

Dibawakan bersama rakan media ERA, SINAR dan Gempak, konsert Janji With Dayang terbukti menjadi antara acara muzik paling dinanti pada tahun ini.

Untuk perkembangan terkini dan pengumuman tambahan tiket, peminat boleh mengikuti saluran rasmi media sosial pihak penganjur.

Komen
Loading...