Tiga Vokalis Mantap Memukau Penonton di Konsert Hitam Manis
- oleh Mohd Indera
- 10 Feb 2025 12:56 pm

Konsert Hitam Manis 2025 yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC malam Sabtu menyaksikan tiga vokalis hebat industri muzik tanah air, Datuk Hattan, Hazama, dan Black, memukau penonton dengan persembahan luar biasa.
Dengan kehadiran seramai 2,500 penonton, konsert ini bukan sekadar menampilkan vokal bertenaga, tetapi juga susunan muzik yang segar serta interaksi spontan yang menceriakan suasana.
Konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu bukan sahaja menampilkan vokal mantap dan susunan muzik yang segar, malah turut diserikan dengan gelagat bersahaja dan lawak spontan ketiga-tiga artis, yang menyebabkan penonton tidak kering gusi.
Konsert dimulakan dengan intro pembukaan yang disusuli lagu Duit, memberikan momentum awal yang kuat kepada suasana malam itu.
Hazama membuka tirai persembahan solo dengan lagu Di Amaran Mama, diikuti oleh Medley Sampai Mati + Cinta Teragung, Semacam Pandora, Umi, Relakan Jiwa, dan Penglipur Lara.
Persembahan Hazama yang penuh jiwa nyata berjaya memukau penonton, terutama menerusi Relakan Jiwa, yang dinyanyikan dengan penuh penghayatan.
Black kemudian mengambil alih pentas dengan vokalnya yang lantang dan bertenaga, membawakan lagu Sofea Jane, Medley Mana Mungkin + Takkan Terpisah, Merisik Khabar sebagai penghormatan kepada Allahyarham Sudirman, Pok Pet duet bersama anaknya, Hijab Rindu, dan Aku Rindu Sayang Kamu.
Kehadiran Datuk Hattan menghangatkan lagi suasana apabila beliau menyampaikan lagu Biso Bonar, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, dan Memburu Rindu.
Vokal dan karisma Datuk Hattan yang tidak dimamah usia memberikan impak mendalam kepada penonton, terutama menerusi Memburu Rindu, yang disampaikan dengan penuh emosi.
Selain persembahan solo, konsert ini turut menampilkan segmen duet dan kolaborasi eksklusif yang mengujakan.
Hazama dan Datuk Hattan berpadu suara dalam Rindu Bertandang Lagi, diikuti oleh Hazama dan Black yang mempersembahkan Drama King. Black dan Datuk Hattan turut berduet dalam lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih yang diiringin saksofon mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.
Salah satu detik yang paling menyentuh hati ialah penghormatan khas kepada Allahyarham Jay Jay, di mana Datuk Hattan, Hazama dan Black menyampaikan salah satu lagu Allahyarham dengan penuh emosi, menyebabkan ramai penonton sebak.
Selain persembahan muzik yang bertenaga, elemen humor turut menjadi antara faktor kejayaan konsert ini. Datuk Hattan, Hazama, dan Black kerap membuat lawak spontan sepanjang konsert, menjadikan suasana lebih santai dan menghiburkan.
Interaksi mereka yang penuh gelak tawa, termasuk gurauan sesama sendiri dan usikan kepada penonton, menambahkan kemeriahan konsert.
Lawak spontan mereka, terutama ketika Hazama meniru gaya Datuk Ramli Sarip mengundang gelak ketawa dan tepukan gemuruh daripada penonton.
Persembahan trio mereka dalam lagu Jam dan Medley Rap turut mencuri tumpuan apabila Adam Eiman, anak kepada Datuk Hattan, tampil dengan bahagian rap yang memberikan sentuhan moden kepada persembahan malam itu.
Sebagai kemuncak kepada malam yang penuh magis ini, mereka bertiga mempersembahkan lagu ikonik Hitam Manis yang diberikan susunan baharu, menjadikan persembahan itu satu penutup yang penuh bertenaga dan beremosi.
Konsert ini membuktikan bahawa muzik dari pelbagai generasi mampu menyatukan peminat tanpa mengira usia.
Rata-rata peminat yang hadir berharap agar Konsert Hitam Manis dapat diteruskan di lokasi lain sebagai siri jelajah, bagi memberikan peluang kepada lebih ramai peminat menikmati persembahan hebat ini.
Foto: Fendi Ghafar.