Ikuti Kami:

Tiga Penyampai ERA Direhatkan Sementara

Tiga Penyampai ERA Direhatkan Sementara

Astro Audio hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung insiden rakaman video yang melibatkan tiga penyampai radio mereka, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin, yang telah dikongsikan di platform media sosial ERA.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan pihak yang terlibat,” kata kenyataan rasmi Astro Audio.

Astro Audio menjelaskan bahawa ketiga-tiga penyampai berkenaan telah mengakui kesilapan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

“Setelah pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” tambah kenyataan itu.

Astro Audio turut menegaskan komitmen mereka terhadap kepercayaan pendengar dan usaha memperkukuhkan proses semakan kandungan.

“Kami sedang mengambil langkah untuk memastikan program yang dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami,” kata syarikat itu.

Bagi memastikan pematuhan penuh terhadap garis panduan yang ditetapkan, Astro Audio berkata mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa.

“Kami amat menghargai maklum balas daripada para pendengar dan akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri,” jelas kenyataan itu lagi.

Astro Audio juga mengakhiri kenyataan dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan sepanjang menangani isu ini.

Terdahulu, dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.

Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel disusuli gelak tawa.

Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Ia mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap Era FM.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.

Komen
Loading...