Tiga Pemandu Teksi Ditahan Bawa PATI, Penahanan Berdasarkan Maklumat Yang Kukuh – PDRM
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penahanan tiga pemandu teksi yang terlibat membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah berdasarkan kepada siasatan dan maklumat yang kukuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, aktiviti itu merupakan jenayah penyeludupan manusia yang menjadi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kita tidak pernah sewenang-wenangnya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) ke atas mana-mana individu tanpa sebab dan alasan yang kukuh sepertimana yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir berkata, kesemua pemandu teksi yang ditahan baru-baru ini merupakan individu yang terlibat dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran secara berterusan dengan menggunakan teksi sebagai transporter utama bagi menguruskan aktiviti keluar masuk migran secara haram.
“Dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan penahanan pemandu-pemandu teksi berkenaan di bawah Akta Sosma adalah suatu tuduhan ‘mala fide’ yang berniat jahat untuk mencemarkan imej dan reputasi PDRM tanpa mengetahui fakta sebenar tentang penahanan mereka,” katanya.
Huzir turut menasihati pihak berkenaan untuk tidak campur tangan dalam siasatan yang masih dijalankan atau mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Sementara itu sebuah kumpulan yang mewakili pemandu teksi menggesa pihak berkuasa tidak menahan atau mendakwa pemandu teksi yang didapati membawa pendatang tanpa izin (PATI) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma kerana mereka tiada hak memeriksa penumpang.
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata pemandu teksi perlu menerima setiap penumpang atau berisiko disaman Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
“Permit kami boleh digantung juga,” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, menahan pemandu selama berhari-hari, merampas permit dan kenderaan mereka untuk tujuan siasatan adalah “tidak berperikemanusiaan”.
“Kami menggesa kerajaan meneliti perkara ini.”
Isnin lalu, GTSM menyerahkan sepucuk surat rayuan kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, meminta mereka meneliti isu itu dan membebaskan pemandu teksi yang ditahan.
Bendahari GTSM, Fazli Fathil berkata kerajaan perlu fokus untuk mengukuhkan sempadan bukannya menyalahkan pemandu teksi.
Foto: Bernama, FMT