Tiga Dekad Bersinar, MLTR Terus Kekal Relevan di Hati Peminat Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 9 Nov 2025 11:50 pm
Kumpulan pop rock legenda dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) membuktikan bahawa muzik balada mereka masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat Malaysia apabila lebih 4,000 penonton membanjiri Arena of Stars, Resorts World Genting untuk menyaksikan konsert “Encore All The Hits”, malam tadi.
Menampilkan Jascha Richter (vokal dan kibod), Mikkel Lentz (gitar) dan Kåre Wanscher (dram), persembahan selama hampir dua jam itu membuka tirai dengan lagu Someday sebelum diteruskan dengan rangkaian hits seperti Sleeping Child, Complicated Heart, I Still Carry On, Blue Night dan It’s Gonna Make Sense.

Dalam satu momen istimewa, vokalis utama Jascha Richter berkongsi kisah bagaimana lagu The Actor menjadi titik tolak kepada kejayaan besar mereka di rantau Asia.
“Kami mempunyai lagu istimewa bernama The Actor, tetapi ketika itu syarikat rakaman kami bankrap. Tidak lama kemudian, kami menerima satu faks yang mengatakan kami lagu itu menjadi ‘hits’ di Asia.”
“Dari situ, segalanya berubah dan kami menjadi lebih dikenali di rantau ini. Ia membuktikan bahawa anda tidak boleh meramal perjalanan karier atau kehidupan anda,” katanya.

Segmen akustik yang lebih santai turut menjadi tumpuan apabila trio itu membawakan I’m Gonna Be Around, Out Of The Blue dan Nothing To Lose, disusuli dengan deretan lagu popular seperti 25 Minutes, The Actor, Love Will Never Lie, Breaking My Heart, Wild Woman, You Took My Heart Away dan Paint My Love.
Sementara itu, gitaris Mikkel Lentz turut berkongsi kisah di sebalik nama kumpulan mereka.
“Kami memilih nama Michael Learns To Rock kerana pada waktu itu kami masih muda dan mahu belajar bermain lagu rock. Tapi nampaknya setiap kali kami cipta lagu, hasilnya tetap menjadi balada romantik,” selorohnya disambut tawa penonton.

Suasana dewan bertukar penuh emosi ketika MLTR kembali ke pentas untuk persembahan encore, menutup malam indah itu dengan dua lagu ikonik, Take Me To Your Heart dan That’s Why, yang disambut sorakan gemuruh serta nyanyian bersama seluruh penonton.
Konsert yang dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions sebagai promoter rasmi itu menjadi pentas nostalgia buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu romantik MLTR sejak tiga dekad lalu.




