Ikuti Kami:

Tidak Salah Jika Tidak Pakai Penutup Hidung dan Mulut di Tempat Awam – Ismail Sabri

Tidak Salah Jika Tidak Pakai Penutup Hidung dan Mulut di Tempat Awam – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak menjadi kesalahan bagi individu yang tidak memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah pun memberi garis panduan dan selalu mengingatkan masyarakat bahawa hanya mereka yang bergejala COVID-19 sahaja perlu memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan berlakunya penularan.

“Yang tidak bergejala (dengan COVID-19) tidak perlu pakai. Kita tidak boleh hendak kuatkuasakan sesiapa yang tidak memakai topeng akan ditahan, ditangkap dan sebagainya. Dulu satu ketika, pengurus pasar raya atau pengawal keselamatan pasar raya, menahan individu kerana tidak pakai topeng hidung dan mulut dan akibatnya pelanggan tidak boleh beli barangan dan sebagainya.

“Ini melebihi dari peraturan dan akta yang dikeluarkan dan diguna pakai. Bagi kita, tidak menjadi kesalahan kalau tidak memakai penutup hidung dan mulut,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu laporan bahawa ada individu yang ditahan polis kerana tidak memakai penutup hidung dan mulut sewaktu berada di sebuah pasaraya di Selangor dua hari lepas.

Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi mengingatkan bahawa tangkapan sepanjang PKP dibuat mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akta-akta lain yang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan.

“Semalam ada yang menulis mengatakan pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah ini dan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan waran dan sebagainya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa tindakan polis adalah berdasarkan Akta 342 dan Seksyen 3 (1) Akta tersebut jelas menyatakan Menteri Kesihatan boleh melantik mana-mana orang yang sesuai menjadi pegawai diberi kuasa untuk menahan mereka yang ingkar PKP.

“Selain itu, Seksyen 3 (2) pula menyebut seseorang pegawai diberi kuasa untuk bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipannya di bawah Akta ini, hendaklah disifatkan sebagai seorang penjawat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelasnya pegawai yang dilantik termasuklah polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melaksana akta tersebut dengan mengambil tindakan dan menjalankan tugas sewajarnya.

Ismail Sabri berkata polis telah menangkap 1,057 individu kerana ingkar PKP semalam.

“Ia merangkumi 906 individu yang direman dan 151 individu dijamin polis. Sebanyak 622 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya dan menambah jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam sebanyak 12,074 individu.

Ismail Sabri berkata polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 557,699 kenderaan.

“Sebanyak 57,344 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 5,220 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 2,284 operasi sanitasi di 102 zon termasuk di 27 Zon Merah sejak 30 Mac lepas.

Beliau berkata antara kawasan yang disanitasi ialah 1,446 bangunan kerajaan, 860 tempat awam, 906 pusat perniagaan dan 168 pasar raya

“Untuk semalam, sebanyak 196 operasi sanitasi meliputi 70 zon di 14 negeri, termasuk 41 kawasan di Johor dan 21 kawasan di Kelantan, yang mana sebanyak 129 bangunan kerajaan, 87 tempat awam, 64 pusat perniagaan dan 15 pasaraya telah disanitasi,” tambahnya.

— BERNAMA

Komen
Loading...