Tiara Andini & Yovie Widianto Rakam Semula Versi Baharu ‘Tanpa Cinta’
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Penyanyi popular Indonesia, Tiara Andini kembali mencuri perhatian peminat muzik apabila tampil bersama maestro terkenal, Yovie Widianto dalam versi terbaharu lagu “Tanpa Cinta”, yang kini diterbitkan semula oleh Universal Music Indonesia.
Lagu yang pernah mendapat tempat di hati pendengar sebelum ini dihidupkan kembali dengan susunan muzik lebih segar dan dinamik, tanpa mengubah terlalu banyak elemen asal yang menjadi kekuatan karya berkenaan.
Menurut Yovie, lagu ini membawa mesej yang cukup dekat dengan realiti kehidupan tentang perasaan terluka apabila cinta tidak berbalas dan akhirnya memilih untuk meneruskan hidup tanpa cinta.
“Lagu ‘Tanpa Cinta’ ini mengisahkan seseorang yang ditinggalkan demi orang lain. Ia tentang menerima kenyataan pahit dan memilih untuk bangkit,” ujar Yovie.
Kerjasama antara Yovie dan Tiara bukanlah sesuatu yang asing. Sebelum ini, gandingan mereka pernah menghasilkan karya yang berjaya menambat hati peminat. Kali ini, Yovie secara khusus memilih Tiara untuk membawakan lagu ini dalam versi baharu.
“Saya memang sudah rancang sejak awal untuk Tiara menyanyikan versi ini. Alhamdulillah, dia menyambut pelawaan dengan hati terbuka,” katanya lagi.
Tiara Andini pula menyifatkan pelawaan itu sebagai satu penghormatan dan cabaran besar, apatah lagi membawakan semula karya ciptaan nama besar seperti Yovie.
“Saya memang sudah lama sukakan lagu ini. Bila diberi peluang untuk rakam semula, saya terus setuju. Ada cabaran tersendiri, tapi saya sangat puas hati dengan hasilnya,” kata Tiara.
Muzik video rasmi lagu ini turut dilancarkan serentak, menampilkan elemen teaterikal dengan pendekatan visual artistik. Ia diarahkan oleh Prialangga dan turut menonjolkan unsur tarian yang seiring dengan mesej lagu.
“Walaupun konsepnya sederhana, penyampaiannya sangat cantik dan menyentuh. Saya puas hati dengan hasilnya,” kata Yovie mengenai muzik video tersebut.
Yovie turut berharap agar versi baharu ini bukan sahaja mengimbau nostalgia peminat lama, malah turut dekat dengan generasi muda yang sedang melalui fasa-fasa emosi cinta dalam kehidupan mereka.
“Versi asal lagu ini mendapat penstriman yang tinggi. Dengan kehadiran Tiara, saya percaya lagu ini akan sampai kepada lebih ramai pendengar, terutama generasi baharu,” tambahnya.
Lagu “Tanpa Cinta” versi baharu kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital. Muzik videonya juga boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Universal Music Indonesia.