Ikuti Kami:

Tiada pengakuan bersalah dibuat ibu Zayn Rayyan: Peguam

Tiada pengakuan bersalah dibuat ibu Zayn Rayyan: Peguam

PETALING JAYA – Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf tidak membuat sebarang pengakuan bersalah dalam prosiding tertutup dalam kamar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Peguam mewakili Ismanira, Mahmud Jumaat berkata, pihak polis hari ini membawa Ismanira, 29, bagi mendapatkan pengakuan bersalah di hadapan majistret mengikut Seksyen 26 (1) Akta Keterangan 1950.

Seksyen berkenaan menyatakan tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.

“Ini adalah proses yang diambil polis sekiranya ada pengakuan salah, namun dalam kes ini tiada pengakuan salah, sebaliknya anak guamnya hanya memberi keterangan.

“Isma hari ini menekankan bahawa dia tidak ingin membuat sebarang pengakuan bersalah, sebaliknya memberi keterangan berlainan daripada apa yang didakwa di luar sana, kononnya dia sudah membuat pengakuan salah dan terbabit dalam pembunuhan,” katanya kepada media di pekarangan kompleks mahkamah di sini, hari ini.

Sumber
Komen
Loading...