‘Tiada Isu Buli, Mereka Banyak Beri Tunjuk Ajar’ – Sophia Albarakbah
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu
Pelakon popular, Sophia Albarakbah, 31, tampil berkongsi pandangannya mengenai isu dakwaan pelakon junior dibuli oleh pelakon senior di set penggambaran.
Menurut Sophia, sebagai pelakon yang baru mencipta nama, inisiatif untuk mewujudkan hubungan baik perlu bermula daripada pelakon junior sendiri.
“Awal-awal dulu, saya juga ada rasa takut untuk melangkah ke set. Bimbang dengan layanan pelakon senior, adakah mereka sombong atau sukar didekati. Tapi apabila saya mulakan dengan menegur mereka, ternyata mereka sebenarnya ramah dan langsung tidak sombong,” katanya.
Tambah Sophia, pengalaman sepanjang penglibatannya dalam industri seni menunjukkan kebanyakan pelakon senior tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar.
“Setakat ini, saya tidak pernah mengalami kes buli daripada pelakon senior. Sebaliknya, mereka banyak membantu dan memberi panduan. Saya tak rasa pelakon senior akan membuli kerana mereka juga tidak mahu tingkah laku itu mengganggu konsentrasi orang lain, hingga menjejaskan penggambaran,” jelasnya.
Sophia turut berpandangan, salah faham atau rasa kurang selesa mungkin timbul kerana ada pelakon junior yang salah mentafsir gurauan atau usikan daripada pelakon senior.
“Mungkin ada usikan yang disalah anggap sebagai buli. Janganlah cepat terasa. Sebenarnya banyak manfaat dan ilmu yang boleh kita kutip daripada pelakon senior. Mereka adalah sumber inspirasi yang tidak patut disia-siakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, rasa hormat terhadap pelakon senior adalah kunci kepada hubungan yang baik di set penggambaran.
“Kita sebagai orang baru perlu belajar untuk menghormati mereka. Jika rasa hormat itu ada, isu seperti buli atau layanan buruk tidak akan timbul,” ujar Sophia.
Beliau ditemui ketika menghadiri majlis tayangan dua episod akhir drama From Saga With Love 2, terbitan VIU Malaysia, yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Majlis tayangan yang dihadiri Sophia itu turut dimeriahkan oleh pelakon-pelakon lain dan mendapat sambutan hangat daripada peminat drama bersiri tersebut.