Ikuti Kami:

Tiada Gangguan Operasi di Menara Kuala Lumpur Pada Syawal Kedua, Tegas Hydroshoppe Sdn Bhd

Tiada Gangguan Operasi di Menara Kuala Lumpur Pada Syawal Kedua, Tegas Hydroshoppe Sdn Bhd

Hydroshoppe Sdn Bhd bersama Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) menegaskan bahawa operasi Menara Kuala Lumpur akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan pada Syawal kedua.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan mengenai tindakan pengambilalihan oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), yang didakwa tidak sah dan perlu menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah.

Menurut Hydroshoppe Sdn Bhd, sebarang cubaan mengambil alih operasi mercu tanda ikonik itu tanpa keputusan rasmi mahkamah adalah bertentangan dengan prinsip undang-undang yang sedang berjalan.

Pihaknya menekankan bahawa sebarang gangguan terhadap operasi Menara Kuala Lumpur boleh menjejaskan industri pelancongan serta pengalaman pengunjung, terutamanya dalam tempoh perayaan Aidilfitri.

“Dalam musim perayaan ini, Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur.

Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong serta mencemarkan keharmonian perayaan,” kata Dato’ Abdul Hamid Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Beliau juga menekankan bahawa pihaknya akan terus berpegang kepada proses undang-undang dan berharap semua pihak berkepentingan menghormati prosedur yang sedang berlangsung.

“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan. Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” tambahnya.

Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd berharap agar operasi Menara Kuala Lumpur dapat terus berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan sehingga keputusan perbicaraan dimuktamadkan.

Foto: BH.

Komen
Loading...