Thong Bowl IOI City Mall Peroleh Sijil Halal JAKIM, Rangkul Rekod ASEAN
- oleh Mohd Indera
- 15 Aug 2025 8:29 pm

Thong Bowl IOI City Mall mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi cawangan pertama rangkaian restoran itu menerima Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)., sekali gus mengukuhkan komitmen jenama itu terhadap penyediaan makanan dan minuman mengikut piawaian tertinggi.
Kejayaan ini turut diperkukuh dengan pengiktirafan ASEAN Record bagi kategori The Most Super Bowl Size Sold in ASEAN, yang membuktikan hidangan Super Bowl Thong Bowl sebagai paling laris di rantau ini serta menjadi bukti penerimaan luar biasa pelanggan terhadap konsep uniknya.
Majlis perasmian diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penyanyi Bella Astillah dan Datin Alyah.
Dalam ucapannya, Syed Saddiq menegaskan bahawa memperoleh Sijil Halal JAKIM bukanlah perkara mudah kerana piawaian di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia.
Beliau turut memuji kesungguhan pihak pengurusan Thong Bowl yang sanggup melalui proses audit dan pemeriksaan rapi demi memastikan setiap aspek operasi mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Tahniah diucapkan kepada Thong Bowl IOI City Mall kerana berjaya mendapat Sijil Halal JAKIM. Ini membuktikan kesungguhan mereka menjaga kualiti, kebersihan, dan integriti produk. Sijil Halal ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelanggan Muslim, malah meningkatkan kepercayaan pengguna secara keseluruhan,”
“Saya harap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak perniagaan tempatan untuk menitikberatkan aspek pensijilan Halal,” katanya.
Ketua Pemasaran Thong Bowl, Muhammad Amir berkata majlis ini diadakan khusus untuk meraikan pencapaian penting cawangan IOI City Mall sebagai cawangan pertama yang mendapat Sijil Halal JAKIM, yang akan menjadi pemangkin kepada usaha pensijilan Halal untuk semua rangkaian cawangan mereka di Malaysia.
Muhammad Amir (berbaju coklat) bergambar bersama tetamu kehormat.
“Hari ini adalah satu pencapaian besar bagi kami kerana ia bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga bukti kesungguhan kami untuk memastikan pelanggan menikmati hidangan berkualiti tinggi yang mematuhi syariah,”
“Ketika ini kami mempunyai 10 cawangan di seluruh negara, dan menjelang Disember tahun ini kami akan menambah enam lagi. Pada tahun 2026, enam lagi cawangan baharu akan dibuka. Matlamat utama kami adalah memastikan kesemua cawangan ini mendapat pensijilan Halal,” katanya.
Tambahnya, proses mendapatkan pensijilan Halal lazimnya mengambil masa dua hingga tiga bulan dengan syarat mematuhi sepenuhnya ketetapan JAKIM, manakala Thong Bowl berpegang teguh pada prinsip ketelusan, disiplin dan konsistensi dalam setiap aspek operasi.
Menyentuh pengiktirafan ASEAN Record, Muhammad Amir berkata ia membuktikan kekuatan jenama tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“The Most Super Bowl Size Sold in ASEAN bermaksud hidangan Super Bowl kami adalah yang paling banyak terjual di seluruh rantau ASEAN, mengatasi pesaing lain dalam segmen hidangan bersaiz besar. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Thong Bowl di pasaran global,” katanya.
Thong Bowl, sebuah restoran yang berpusat di Kuala Lumpur, menawarkan pengalaman menjamu selera unik berkonsepkan mangkuk mi “emas” yang diinspirasikan daripada mi perahu Thai (Thai boat noodles).
Nama “Thong” diambil daripada perkataan Thai yang bermaksud emas, melambangkan kualiti dan nilai.
Terdahulu, Thong Bowl turut mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records untuk kategori ‘The Biggest Big Tea in Malaysia’ dan ‘Records Holder The Biggest Thai Beef Noodle’.