Thee Marloes Muncul Dengan Album Kedua ‘Di Hotel Malibu’
- oleh MDaily Editor
- 25 May 2026 4:22 pm
Trio muzik soul sensasi dari Surabaya, Indonesia, Thee Marloes, kembali menggegarkan industri muzik antarabangsa dengan pelancaran album kedua mereka yang berjudul Di Hotel Malibu.
Album yang memuatkan 14 buah lagu itu dilancarkan secara rasmi pada 22 Mei lalu menerusi label rakaman antarabangsa terkemuka, Big Crown Records.
Pelancaran Di Hotel Malibu menandakan satu fasa evolusi penting buat kumpulan itu, selepas dua tahun album sulung mereka, Perak, berjaya melonjakkan nama mereka di pentas global.
Menurut kenyataan Big Crown Records, album baharu ini memperlihatkan keberanian Thee Marloes untuk keluar daripada kepompong zon selesa, sekali gus menawarkan susunan muzik yang lebih terbuka, dinamik, dan eksperimental tanpa mengetepikan identiti budaya Indonesia yang menjadi akar umbi mereka.
“Album ini merupakan respons terhadap fasa kehidupan yang dilalui oleh ahli kumpulan sepanjang dua tahun kebelakangan ini, merangkumi realiti sosial, dinamika percintaan, serta impak daripada kejayaan yang mereka kecapi.
“Menerusi Di Hotel Malibu, mereka kekal setia dengan genre soul, namun tampil lebih bebas bereksperimen dari segi struktur lagu, warna instrumen baharu, serta pendekatan muzikal yang lebih cair,” kata kenyataan itu.

Thee Marloes yang dianggotai oleh Natassya Sianturi selaku vokalis dan pemain papan kekunci, Sinatrya Dharaka (gitaris/penerbit), dan Tommy Satwick (pemain dram), terkenal dengan keupayaan mereka menghasilkan muzik yang matang berasaskan keserasian groove yang kuat.
Antara naskhah menarik yang dimuatkan dalam album ini termasuklah single utama yang menggunakan judul sama, Di Hotel Malibu, selain beberapa lagu yang telah dilancarkan sebelum ini seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, dan What’s On Your Mind.
Sempena pelancaran album ini, peminat juga kini boleh menonton video muzik rasmi bagi lagu Under the Silver Moon di platform digital, dengan menampilkan sentuhan estetika visual menerusi foto arahan Raka Syahreza.
Didorong oleh perhatian dan sokongan padu peminat global, Thee Marloes kini bersiap sedia untuk memulakan siri jelajah dunia bagi mempromosikan album ini, sekali gus membawa muzik soul unik dari Surabaya ke pentas yang lebih besar.
