Ikuti Kami:

The Zikr Lancar “Kembali” Sebagai Pembuka Laluan Empat Single Baharu

The Zikr Lancar “Kembali” Sebagai Pembuka Laluan Empat Single Baharu

Kumpulan nasyid veteran, The Zikr, melancarkan single terbaharu berjudul Kembali, sekali gus menandakan permulaan kepada pelancaran empat lagi lagu baharu mereka dalam masa terdekat.

Single Kembali membawa mesej keinsafan dan kepulangan kepada fitrah, selari dengan identiti kumpulan itu yang sinonim dengan karya berunsur spiritual dan dakwah sejak awal penubuhannya pada 1989.

Dalam satu kenyataan, wakil The Zikr memaklumkan bahawa kemunculan semula The Zikr turut disertai oleh barisan anggota asal iaitu Nazrey, Amran, Syam, Shawal, Afizan, Achik dan Amy, serta dua anggota baharu, Amin dan Hafiz.

Kumpulan itu turut merakam empat lagu baharu iaitu Mengemis Kasih (kolaborasi bersama Yabang Khalifah), Isteri Solehah, Secerah Pawana (versi baharu), dan Iktikad (juga bersama Yabang). Kesemua lagu tersebut dijadualkan untuk dilancarkan secara berperingkat.

Gabungan ini memberi dimensi baharu kepada kumpulan itu yang sebelum ini pernah dikenali menerusi lagu-lagu seperti Secerah Pawana dan Perjuangan.

The Zikr turut menerima pelbagai undangan persembahan sejak kemunculan semula mereka diumumkan, menandakan bahawa karya berunsur kerohanian masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Kumpulan itu menyatakan komitmen untuk terus menghasilkan karya berkualiti yang menyampaikan mesej positif dan membina, sesuai dengan perkembangan semasa industri muzik tempatan.

Single Kembali telah dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi Smart Audio Music Malaysia dan menerima maklum balas positif daripada peminat lama serta pendengar generasi baharu.

Komen
Loading...