Dalam dunia seni muzik, kejujuran sering menjadi elemen yang sukar ditampilkan secara terang-terangan.
Namun, ALYPH membuktikan sebaliknya menerusi album terbaharunya, The Storm.
Album ini menjadi wadah untuk penyanyi, penulis lagu, dan penerbit muzik berbakat besar ini meluahkan sisi peribadi yang jarang disentuh secara langsung.
The Storm adalah hasil refleksi ALYPH terhadap pelbagai fasa kehidupannya – masa lalu, masa kini, dan masa depan.
Album ini meneroka tema universal seperti cinta, penderitaan, dan harga diri, tetapi disampaikan dengan pendekatan yang sangat peribadi.
“Saya tidak selalu berterus terang dalam perbualan, tetapi muzik memberikan saya kebebasan untuk melakukannya.
Setiap lagu dalam album ini lahir daripada kisah benar, digabungkan dengan elemen fiksyen untuk mencipta pengalaman baharu yang penuh emosi,” jelas ALYPH semasa sesi pra-dengar The Storm di Maveriq Studio, Petaling Jaya, hari ini.
Album ini memuatkan 12 lagu, termasuk Ingat, Gerak, dan Teman, yang membawa pendengar ke dalam dunia emosi ALYPH yang mendalam.
Sebahagian besar karya ini didasarkan pada kenangan, pembelajaran daripada ibunya, dan pandangan introspektif tentang kehidupan.
Menurut ALYPH, lagu seperti Gerak dan Ingat menjadi titik tumpuan album ini kerana kisah peribadinya yang kompleks dan mendalam.
“Menyanyikan lagu seperti ini di atas pentas adalah pengalaman yang sangat rawak. Ia seolah-olah saya membuka diri kepada penonton, tetapi itulah yang menjadikan karya ini bermakna,” katanya.
Album ini turut menampilkan kerjasama menarik bersama penyanyi legenda, Ziana Zain, dan bakat muda hip-hop, GARD.
Lagu-lagu seperti Sorok Muka dan Teman menggabungkan perspektif ALYPH dengan gaya unik kedua-dua artis tersebut.
ALYPH juga berkongsi cabaran dalam mencipta lagu-lagu ini, khususnya Gerak dan Saham Naik.
Proses tersebut, katanya, menuntut emosi yang mendalam dan kejujuran sepenuhnya.
“Dalam The Storm, saya cuba mengetengahkan tema yang jarang diteroka. Album ini adalah tentang meleraikan segala yang terpendam dan menterjemahkannya menjadi sesuatu yang dapat dinikmati dan dihayati oleh semua,” ujarnya.
Melalui The Storm, ALYPH mengajak pendengar untuk menyelami perjalanan emosi dan refleksi dirinya.
Kejujurannya yang terpancar dalam setiap lirik dan melodi menjadikan album ini sebuah karya seni yang bukan sahaja indah, tetapi juga sangat relevan kepada mereka yang mendengarnya.
Album ini dijangka membawa gelombang baharu dalam dunia muzik tempatan dan mengukuhkan lagi kedudukan ALYPH sebagai salah satu artis paling berani dan ikonik di rantau ini.