Ikuti Kami:

The Sigit, Bittersweet ‘Gegar’ Zepp Kuala Lumpur 9 Mei Ini

The Sigit, Bittersweet ‘Gegar’ Zepp Kuala Lumpur 9 Mei Ini

Pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bakal menyaksikan pertembungan luar biasa dua gergasi muzik indie dari Malaysia dan Indonesia apabila kumpulan Bittersweet dan The Sigit disatukan dalam sebuah konsert eksklusif pada 9 Mei 2026 ini.

Konsert yang diberi judul Another Day: A Perfect Match anjuran Republic Mokhmah Records (RMR) itu menjanjikan satu pengalaman muzik yang mendalam, melangkaui format festival biasa.

Penganjur RMR, Encik Abdul Musa Mokhtar berkata, acara ini direka khas untuk memberikan impak eksklusif dan imersif kepada peminat setia kedua-dua kumpulan tersebut.

“Ini bukan festival ia adalah pengalaman konsert berganda yang dikurasi, direka untuk terasa eksklusif dan penting dari segi muzik. Apa yang lebih menarik, ini merupakan kolaborasi rentas kumpulan yang sangat jarang (rare) berlaku,” katanya.

Bagi vokalis Bittersweet, Heri, peluang berkongsi pentas dengan The Sigit merupakan satu detik yang dinantikan, memandangkan kumpulan dari Bandung, Indonesia itu mempunyai reputasi besar dalam kancah muzik rock serantau.

“Kami akan membuat persembahan selama 60 minit, begitu juga dengan The Sigit. Kami sangat menantikan kerjasama muzik dalam satu pentas ini dengan kualiti produksi yang tinggi di Zepp KL,” ujar Heri.

Sementara itu, vokalis The Sigit, Rektivianto Yoewono atau lebih dikenali sebagai Rekti, menyifatkan jemputan ini sebagai satu penghormatan buat mereka untuk kembali menyapa peminat di Malaysia.

“Sebuah penghormatan buat kami dan The Sigit mengharapkan sokongan daripada para peminat untuk menyaksikan gabungan eksklusif dalam satu malam ini. Jumpa di Zepp pada 9 Mei nanti,” katanya.

Harga tiket bermula daripada serendah RM98 sehingga RM348 dan boleh didapati sekarang menerusi laman web www.ilassotickets.com.

Loading...