Ikuti Kami:

The Real Cromok: Persembahan Ikonik Gabungkan Karl, Hillary, dan Man Keedal

The Real Cromok: Persembahan Ikonik Gabungkan Karl, Hillary, dan Man Keedal

Cromok terus memperkukuhkan statusnya sebagai legenda thrash heavy metal tanah air dengan Konsert The Real Cromok yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam Sabtu lalu.

Persembahan ini menampilkan gandingan istimewa Karl, Hillary Ang, dan Man Keedal, yang bersama-sama mencipta malam penuh magis buat peminat setia band ini.

Man Keedal mencuri perhatian dengan penampilan sulungnya secara live bersama Cromok, menyemarakkan nostalgia menerusi riff klasik dalam lagu Misery, Seedling, dan Farewell.

Sentuhannya memberikan nafas baharu kepada karya-karya lama, menjadikan persembahan ini lebih bermakna dan meninggalkan kesan mendalam kepada peminat setia.

Hillary Ang kembali ke pentas Cromok selepas 24 tahun, mmempersembahkan Suffer dengan penuh jiwa, diikuti solo gitar epik dalam Enough/Turning Point yang memukau penonton.

Gabungan sentuhan klasik Hillary dengan semangat bertenaga Cromok menjadikan momen ini antara yang paling berharga sepanjang konsert.

Sepanjang dua jam, penonton dihidangkan dengan koleksi 18 lagu termasuk karya agung seperti ‘Journey’ dan ‘Metallurgical’.

Tidak ketinggalan, sebuah lagu baharu dipersembahkan buat pertama kali “Fallen Heroes”, menjadi hadiah istimewa kepada peminat dan juga tribute kepada dua anggota pengasas, Allahyarham Din dan Allahyarham Miji, yang meninggalkan kesan mendalam pada sejarah band ini.

Kejutan istimewa tercipta apabila Mat Puck, bekas gitaris Cromok, membuat kemunculan di pentas. Sorakan gemuruh daripada peminat menggambarkan keterujaan mereka terhadap detik bersejarah ini.

Bersama Mat Puck, Cromok memukau penonton dengan lagu-lagu ikonik seperti Ulek Mayang dan La Crosse, yang memadukan elemen muzik tradisional dengan alunan metal.

Dengan iringan pemuzik seperti Apis Cropox, Shah Sidious, dan Archer, konsert ini menyatukan elemen thrashditional – gabungan muzik tradisional dan thrash metal – yang terus menjadi identiti Cromok.

Konsert The Real Cromok membuktikan bahawa Cromok bukan sekadar band, tetapi ikon yang terus relevan, membawa peminat menelusuri perjalanan muzik mereka yang penuh warna selama lebih tiga dekad.

Komen
Loading...