Ikuti Kami:

The Rayhan: Konsert Syukur 26 Bakal Gegarkan MAEPS Ogos Ini

The Rayhan: Konsert Syukur 26 Bakal Gegarkan MAEPS Ogos Ini

Penantian selama 26 tahun buat peminat setia irama nasyid tanah air bakal berakhir apabila kumpulan The Rayhan mengumumkan bakal mengadakan konsert berskala besar, Konsert Syukur 26 yang dijadualkan berlangsung di Hall A, MAEPS, Serdang pada 15 Ogos depan.

Konsert yang amat dinanti-nantikan ini dianjurkan oleh Bintang Batu Events dan Magnificent G Ventures bakal menyaksikan penyatuan semula vokalis legenda, Nazrey Johani bersama dua sahabat seperjuangannya, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad di atas satu pentas.

Penganjur konsert daripada Bintang Batu Events, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom berkata, pemilihan MAEPS sebagai lokasi utama adalah berdasarkan kapasitinya yang mampu memuatkan sehingga 10,000 penonton selain fasiliti dewan yang baru diubah suai.

“Sebenarnya perancangan untuk menyatukan mereka sudah bermula sejak 2017 lagi. Selepas melalui pelbagai kekangan, termasuk isu ketersediaan lokasi, kami akhirnya memilih MAEPS kerana ia menawarkan ruang tertutup dan selesa untuk sebuah konsert berskala besar.

“Menariknya, The Rayhan bakal menjadi artis pertama yang mengadakan konsert di dewan ini selepas proses renovasi siap sepenuhnya,” katanya pada majlis sidang media di Top G Coffee & Cafe, Publika, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nazrey Johani menzahirkan rasa terharu kerana diberi kekuatan untuk kembali memperjuangkan legasi muzik yang pernah mencetuskan fenomena global pada penghujung tahun 90-an itu.

“Setiap kali kami berlatih dan menyanyi bersama, saya rasa sangat sebak kerana teringat zaman awal kemunculan dahulu. Perjuangan ini bukan sekadar untuk muzik, tetapi untuk mengembalikan ‘ruh’ yang dirindui peminat selama dua dekad saya tidak bersama kumpulan asal.

“Selain menjadi platform pertemuan bersama peminat, penglibatan saya dalam konsert ini juga bertujuan mencari dana bagi keperluan madrasah saya di Sabah,” jelasnya.

Konsert ‘Syukur 26’ bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia akan diberi nafas baharu menerusi susunan muzik kontemporari tanpa mengetepikan identiti vokal harmoni yang menjadi tanda dagang mereka.

Antara tarikan utama termasuklah susunan segar lagu hits seperti Iman Mutiara, Demi Masa, dan Syukur, penampilan artis jemputan antaranya MK dan Nokki dari K-Clique dan akan menggunakan pemuzik-pemuzik yang pernah terlibat dengan konsert Raihan 20 tahun lalu.

Tiket bagi menyaksikan konsert bersejarah ini bermula RM179 hingga RM459 dan akan mula dijual pada 1 Mei 2026 (Jumaat) melalui platform dalam talian di rayhan.ubertickets.asia.

Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan sambutan luar biasa yang dijangkakan terhadap kepulangan semula ‘lejen’ nasyid negara ini.