Ikuti Kami:

The Last Waltz: Engelbert Humperdinck Persembah Konsert Sulung Di Kuala Lumpur

The Last Waltz: Engelbert Humperdinck Persembah Konsert Sulung Di Kuala Lumpur

Selepas lebih enam dekad menguasai pentas global dengan suara lunak dan lagu-lagu cinta yang menyentuh jiwa, Engelbert Humperdinck akhirnya bakal mengadakan konsert sulungnya di Kuala Lumpur menerusi siri jelajah perpisahan bertajuk The Last Waltz.

Konsert eksklusif ini dijadual berlangsung pada Ahad, 2 November 2025 jam 4 petang di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, menandakan detik istimewa buat peminat tempatan yang menanti kemunculan penyanyi legenda ini selama bertahun-tahun.

Digelar King of Romance, Humperdinck mengukir nama di persada antarabangsa menerusi lagu ikonik Release Me, yang menduduki carta teratas di 11 negara dan bertahan selama 56 minggu dalam carta UK Top 50.

Antara lagu lain yang turut melonjakkan namanya termasuk Am I That Easy To Forget, Quando Quando Quando, Spanish Eyes, A Man Without Love, dan tentunya The Last Waltz yang menjadi tajuk konsert ini.

Walaupun sudah menjelajah ke serata dunia termasuk Australia, Afrika Selatan, Eropah, UK, Chile, Kanada dan Amerika Syarikat, persembahan kali ini membawa makna istimewa buat Humperdinck dan para peminat Asia Tenggara khususnya Malaysia.

Lebih menarik, peminat akan disajikan dengan seleksi lagu daripada album terbaharunya All About Love (2023) yang menampilkan gubahan semula lagu-lagu klasik Amerika, selain beberapa sentuhan istimewa lagu rock 1980-an yang diberi nafas romantis ala Humperdinck.

Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghormatan kepada warisan muzik cinta yang telah menjadikan Humperdinck antara nama paling disanjung dalam industri muzik dunia.

Harga tiket bagi The Last Waltz: Engelbert Humperdinck Farewell Tour bermula daripada RM188 hingga RM1376, bergantung kepada kategori tempat duduk.

Tiket akan mula dijual mulai 1 Ogos 2025 jam 10 pagi menerusi my.bookmyshow.com dan biztmgptix.bigtix.io.

Peminat muzik klasik, khususnya pencinta balada romantik, tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan konsert perpisahan bersejarah ini yang dijangka penuh emosi dan kenangan terindah.

Komen
Loading...