Ikuti Kami:

The Lantis Gegarkan Kuala Lumpur, Langkah Pertama Di Pentas Antarabangsa

The Lantis Gegarkan Kuala Lumpur, Langkah Pertama Di Pentas Antarabangsa

Kumpulan retro-pop dari Jakarta Selatan, The Lantis, melakar sejarah tersendiri apabila memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi debut antarabangsa mereka menerusi Konsert Jiwa Kacau yang berlangsung baru-baru ini.

Penampilan sulung mereka di luar Indonesia menyaksikan Giri (vokalis), Ravi (gitaris) dan Ojan (gitaris) berjaya memukau ribuan penonton dengan persembahan bertenaga dan seleksi lagu yang mengundang sorakan peminat.

Antara lagu yang mencuri perhatian pada malam itu termasuk “Bunga Maaf” dan “Lampu Merah”, dua karya hit yang telah melonjakkan nama The Lantis di Indonesia dan kini mula menembusi pasaran Malaysia.

“Bunga Maaf”, yang dilancarkan pada November 2024, masih kekal dalam carta Top Songs Malaysia di kedudukan ke-46.

“Ini adalah mimpi kami sejak lama. Kuala Lumpur menjadi saksi pertama langkah antarabangsa kami dan sambutan penonton di sini luar biasa. Kami sangat terharu,” kata anggota The Lantis sejurus tamat persembahan.

Ditubuhkan pada tahun 2020, The Lantis mula dikenali menerusi lagu “Lampu Merah” yang tular dengan lebih 96 juta penstriman. Empat tahun kemudian, “Bunga Maaf” dilancarkan dan terus mengukuhkan kedudukan mereka dengan jumlah penstriman mencecah 161 juta.

Tidak terhenti di situ, The Lantis turut menyumbangkan lagu “Seperti Cemara” dalam album kompilasi Lagu-Lagu Cemara (2025) yang dilancarkan Jun lalu sebagai sebahagian daripada projek Musikal Keluarga Cemara 2025.

Menyertai pentas bersama nama-nama besar seperti Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider, The Lantis menganggap peluang ini sebagai permulaan kepada perjalanan lebih luas dalam membina jalinan muzik serantau.

“Ini bukan sekadar persembahan biasa. Ini adalah langkah pertama kami menuju pentas global dan kami sangat bersyukur ia bermula di Malaysia,” ujar mereka lagi.

Komen
Loading...