Ikuti Kami:

The Furious: Zul Ariffin ‘Nekad’ Demi Watak Jaguh Tinju

The Furious: Zul Ariffin ‘Nekad’ Demi Watak Jaguh Tinju

Bintang aksi terkenal tanah air, Zul Ariffin ‘nekad’ menurunkan berat badan sehingga 20 kilogram (kg) demi merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya untuk memegang watak seorang jaguh tinju.

Menerusi naskhah aksi sukan terbaharu, The Furious: Pertaruhan Maruah, Zul yang memegang watak utama sebagai Firdaus mendedahkan bahawa beliau sanggup melalui fasa latihan intensif yang diumpamakan seperti ‘neraka’ demi memberikan impak visual dan fizikal yang realistik kepada penonton.

“Sesiapa yang melihat penampilan saya dalam filem Magic Rompak sebelum ini tahu fizikal saya ketika itu agak besar, mencecah 103 kg dan kelihatan seperti ‘peti ais bergerak’. Jadi apabila mendapat tahu naskhah ini mengenai sukan tinju, saya terus mengunci komitmen saya.

“Saya beritahu kepada penerbit, Adrian Teh, untuk ambil saya bekerja dan saya janji akan turunkan 20 kg. Ini adalah kali pertama dalam kerjaya saya yang saya sendiri meminta watak sedemikian kerana mahukan filem tinju ada dalam resume dan bucket list hidup saya,” katanya kepada media semasa malam gala dan sidang media filem di GSC Mid Valley Megamall, di sini, semalam.

Mengulas mengenai tempoh persediaan yang mencabar, Zul mengakui jadual latihan selama lebih dua bulan di gimnasium amat menguji ketahanan mental dan fizikalnya, terutama apabila perlu mengimbangi diet ketat berbanding rakan pelakon lain.

“Memang sangat susah. Ketika pelakon lain boleh menikmati makanan termasuk durian selepas tamat latihan, saya pula hanya mampu bergantung kepada ‘coklat angin’ bagi menahan lapar. Saya tidur dalam keadaan lapar dan bangun juga dalam kelaparan.

“Bagaimanapun, saya paksa diri kerana tidak mahu timbul rasa menyesal apabila melihat hasilnya di skrin kelak. Saya mahu kelihatan seperti seorang peninju sebenar agar watak saya dapat ‘blend’ dengan pelakon Ikmal Amry yang menjadi lawan saya dalam gelanggang,” katanya lagi.

Filem The Furious: Pertaruhan Maruah merupakan debut pengarahan Heng Aik Siong, yang sebelum ini mengasah bakat sebagai pembantu pengarah kepada pembikin filem aksi prolifik, Adrian Teh.

Naskhah terbitan ACT 2 Pictures bersama GSC Movies, Astro Shaw, dan Sunstrong Entertainment ini menonjolkan kisah hubungan dua beradik yang kembali bersatu demi mempertahankan maruah keluarga yang tercalar selepas nama arwah bapa mereka dihina secara terbuka.

Selain Zul Ariffin, filem yang berjaya mengimbangi elemen aksi dinamik dan pergolakan emosi kekeluargaan ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Sky Iskandar, Ikmal Amry, Sandra Lim, Zamarul Hisham, dan Marisa Yasmin.

The Furious: Pertaruhan Maruah dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.