“The Defects” Bongkar Sisi Gelap Sindiket Anak Angkat, Tayang Serentak Korea Mulai 21 Julai di K-PLUS
- oleh MDaily Editor
- 18 Jul 2025 1:14 pm
Sebuah lagi drama Korea baharu berjudul The Defects: The Children Who Do Not Exist bakal memulakan tayangan perdana di Malaysia bermula 21 Julai ini, setiap Isnin dan Selasa jam 10.30 malam (GMT+8) menerusi saluran K-PLUS, serentak dengan tayangan di Korea.
Drama aksi thriller ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Yum Jung-ah, Won Jin-ah, Choi Young-joon, Dex Kim Jin-young dan Lee Na-eun. Dengan hanya lapan episod, The Defects dijangka memberikan pengalaman menonton yang padat, dramatik dan penuh debaran.
Diadaptasi daripada webtoon popular I-Shopping yang mencatat lebih 51 juta tontonan serta memenangi anugerah SPP Best Creativity, drama ini mengekalkan elemen aksi mendebarkan, tema dendam dan kritikan sosial yang tajam.
Jalan ceritanya berkisar tentang dunia gelap sindiket pengambilan anak angkat haram yang dijalankan oleh golongan elit bertopengkan kebajikan.
Kisah bermula dengan watak Kim Se-hee lakonan Yum Jung-ah, seorang doktor sakit puan terkenal yang juga mengetuai sebuah yayasan amal.
Namun di sebalik reputasi baiknya, dia merupakan dalang sebuah organisasi haram yang mempercayai hanya mereka yang mempunyai ‘genetik sempurna’ layak untuk hidup.
Watak Kim Ah-hyun yang dilakonkan oleh Won Jin-ah pula memegang kunci utama dalam usaha membalas dendam. Selepas ‘dipulangkan’ kerana dianggap tidak sempurna, dia diselamatkan oleh Woo Tae-sik, bekas ejen sindiket lakonan Choi Young-joon yang kini menebus dosanya dengan melindungi kanak-kanak lain yang turut terselamat.
Dex Kim Jin-young memegang watak Jung Hyun, individu yang dibentuk sebagai mesin pembunuh oleh sindiket ini, namun akhirnya mula memberontak apabila menyedari kanak-kanak yang dianggap mati masih hidup.
Penampilan Yum Jung-ah sebagai watak antagonis jahat yang kejam dalam drama ini dianggap sebagai transformasi besar dalam kerjayanya. Won Jin-ah pula tampil dengan sisi baharu sebagai watak utama wanita yang kuat secara fizikal dan emosi, jauh berbeza daripada watak-watak melodrama yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
Gabungan lakonan mantap, penceritaan gelap serta tema eksploitasi manusia yang sarat konflik moral menjadikan The Defects antara drama Korea yang dinanti ramai tahun ini.
The Defects akan ditayangkan di K-PLUS bermula 21 Julai 2025, setiap Isnin dan Selasa jam 10.30 malam (GMT+8), sejurus selepas siaran di Korea. Ulangan akan disiarkan setiap Sabtu dan Ahad jam 9.15 malam (GMT+8).
Saluran K-PLUS boleh ditonton menerusi platform Indihome, DensTV, Astro dan UnifiTV.
Penonton disarankan bersedia untuk menyaksikan kisah penuh dendam, pengkhianatan, dan perjuangan demi keadilan yang bakal menguji emosi menerusi The Defects di kaca televisyen anda tidak lama lagi.




