The Conjuring: Last Rites Menghantui Pawagam Mulai 4 September
- oleh Mohd Indera
- 3 Sep 2025 1:16 pm

Peminat filem seram bersiap sedia untuk menanti tayangan penutup francais paling berjaya dunia, The Conjuring: Last Rites, filem ke-9 dalam siri yang telah mencatat kutipan lebih AS$2 bilion di seluruh dunia, akan mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 4 September 2025.
Diarahkan oleh Michael Chaves serta diterbitkan oleh James Wan dan Peter Safran, filem ini menutup tirai kepada perjalanan penyiasat paranormal terkenal, Ed dan Lorraine Warren, yang dilakonkan oleh Patrick Wilson dan Vera Farmiga.
Selepas lebih satu dekad menghantui penonton sejak 2013, Last Rites menampilkan kes terakhir mereka yang diinspirasikan daripada kisah benar keluarga Smurl di Pennsylvania.
Kisahnya mengangkat penyiasatan paling menakutkan sepanjang karier pasangan Warren apabila mereka berdepan sebuah keluarga yang diganggu kuasa jahat luar biasa. Gangguan itu semakin membesar hingga mencairkan batas antara dunia hidup dan mati, memaksa mereka berhadapan dengan kegelapan yang mengancam untuk menelan segalanya.
Selain Wilson dan Farmiga, filem ini turut dibintangi oleh Mia Tomlinson sebagai Judy Warren, Ben Hardy sebagai Tony Spera, serta Steve Coulter yang kembali membawakan watak Father Gordon.
Pelakon lain yang menyertai barisan ini termasuk Rebecca Calder, Elliot Cowan, Kila Lord Cassidy, Beau Gadsdon, John Brotherton, dan Shannon Kook.
Filem ini merupakan sebahagian daripada The Conjuring Universe, sebuah dunia sinematik seram yang bermula dengan The Conjuring (2013) dan berkembang melalui pelbagai filem pecahan seperti Annabelle, The Nun dan The Curse of La Llorona.
Keseluruhannya, siri ini telah menjana kutipan lebih AS$2 bilion, menjadikannya francais filem seram paling berjaya dalam sejarah.
Dengan gabungan lakonan mantap dan sentuhan pengarah berpengalaman, The Conjuring: Last Rites dijangka menjadi penutup penuh emosi dan mendebarkan kepada sebuah francais ikonik yang telah meninggalkan jejak besar dalam dunia filem seram.
Penonton turut berpeluang menikmati pengalaman tontonan lebih imersif dengan format IMAX di TGV Cinema.
Tiket boleh dibeli lebih awal melalui laman web rasmi www.tgv.com.my