The ABBA Forever Tour: Björn Again Bawa Nostalgia Muzik ABBA Ke Zepp KL Ogos Ini
- oleh MDaily Editor
- 1 May 2026 11:17 am
Demam muzik pop legenda Sweden, ABBA, bakal melanda ibu negara apabila tribute band terkemuka dunia, Björn Again, mengesahkan penampilan sulung mereka di Malaysia menerusi siri jelajah “The ABBA Forever Tour” pada 12 Ogos depan.
Konsert yang dibawakan khas dari Melbourne, Australia itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan sebuah malam penuh nostalgia yang akan mengimbau kembali kegemilangan kumpulan pop paling ikonik dalam sejarah muzik dunia itu.
Konsert selama dua jam itu bakal menyaksikan Björn Again mempersembahkan barisan lagu hits yang melangkaui zaman termasuk “Mamma Mia”, “Dancing Queen”, “Waterloo”, “SOS” dan “Gimme! Gimme! Gimme!”.
Selain lagu-lagu rancak, penonton juga akan dihidangkan dengan balada menyentuh hati seperti “The Winner Takes It All”, “I Have a Dream”, “Chiquitita”, dan “Fernando”.
Ditubuhkan di Melbourne, Björn Again bukan sekadar kumpulan muzik biasa, malah mereka merupakan satu-satunya kumpulan penghormatan ABBA yang mendapat pengiktirafan dan sokongan rasmi daripada ahli asal kumpulan ABBA.

Sejak penubuhannya, mereka telah mengadakan persembahan di lebih 120 buah negara dan pernah menghiasi pentas berprestij dunia seperti Stadium Wembley, Royal Albert Hall serta Festival Glastonbury.
Kehebatan persembahan mereka turut mendapat pujian daripada ahli ABBA sendiri, Benny Andersson, yang menyifatkan Björn Again sebagai “pengalaman paling dekat bagi peminat untuk melihat ABBA yang sebenar.”
Kumpulan ini juga mempunyai peminat dalam kalangan nama besar dunia hiburan dan sastera seperti Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J.K. Rowling.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang ini, tiket mula dijual pada 28 April lepas melalui laman web www.ticket2u.com.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori bermula daripada RM228 (Silver), RM298 (Gold), RM398 (Platinum), RM498 (Diamond) sehingga RM600 bagi kategori VIP.
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan pengumuman terkini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi penganjur di www.shirazprojects.com atau mengikuti media sosial Shiraz Projects dan Bjorn Again (Australia).
