TGV Lancar Kempen “Home of Heroes”, Raikan Dunia Adiwira Tempatan dan Antarabangsa
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Dunia adiwira kini bukan lagi milik Hollywood semata-mata apabila TGV Cinemas mengangkat martabat wira tempatan dan antarabangsa menerusi kempen khas bertema adiwira, TGV Home of Heroes, yang bakal berlangsung sepanjang bulan Mei.
Menerusi kempen ini, pawagam TGV di seluruh negara akan berubah wajah menjadi platform pertemuan peminat filem, cosplay dan budaya pop, menyatukan ikon global seperti adiwira Marvel dengan adiwira tempatan seperti Keluang Man dan wira budaya warisan seperti pendekar Silat Gayong.
“Kempen ini adalah penghargaan kepada semua jenis hero – sama ada dari Hollywood, animasi, mahupun warisan budaya kita sendiri,”
“Kami bukan sekadar menayangkan filem, kami meraikan semangat heroik bersama komuniti peminat kami.” ujar jurucakap TGV.
Antara filem yang akan memeriahkan kempen ini termasuk Marvel Studios’ Thunderbolts, Mission: Impossible 8, Ejen Ali The Movie 2, Gayong dan Keluang Man — filem adiwira tempatan yang bakal kembali dengan nafas baharu.
Sepanjang kempen ini, TGV akan menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya mengujakan peminat dari pelbagai lapisan umur.
Pengunjung boleh bertemu secara langsung dengan barisan pelakon dan cosplayer terkenal, menyaksikan pertunjukan langsung, serta menikmati pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk keluarga mahupun peminat tegar.
TGV juga menawarkan ganjaran eksklusif kepada ahli MovieClub serta bekerjasama dengan pencipta kandungan tempatan dan media sosial bagi memeriahkan lagi suasana.
Bagi mereka yang hadir dengan kostum watak adiwira kegemaran, TGV menyediakan ganjaran berupa minuman percuma seperti Hot Chocolate atau Air Mineral.
Gambar bersama cosplayer atau adiwira yang dimuat naik ke media sosial bersama tanda pagar rasmi kempen turut melayakkan pengunjung menerima Bonus MovieMoney.
Untuk si kecil dan keluarga, aktiviti menyeronokkan seperti cabaran yo-yo dan permainan lempar bola ke papan lekit turut diadakan, dengan hadiah minuman menanti pemenang.
Dalam masa sama, TGV juga memperkenalkan tayangan khas filem kanak-kanak dengan harga tiket serendah RM10, menjadikan Mei bulan terbaik untuk membawa anak-anak ke pawagam. Filem seperti Lilo & Stitch (Live Action), Karate Kid Legends dan How to Train Your Dragon antara yang akan ditayangkan.
Kempen ini turut memberi peluang kepada penonton menikmati pengalaman tontonan terbaik menerusi teknologi IMAX with Laser dan bunyi 12-saluran di beberapa lokasi terpilih seperti TGV Pavilion Bukit Jalil, TGV Sunway Velocity dan TGV KLCC. Lokasi IMAX lain turut termasuk Gurney Paragon, 1 Utama, Sunway Pyramid, Central i-City, Tebrau City dan Vivacity.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara, lokasi dan tempahan tiket, orang ramai boleh melayari www.tgv.com.my atau mengikuti @TGVCinemas di media sosial.