Ikuti Kami:

Terokai Ketenangan Hutan Rimba Bali di Novotel Bali Ubud Resort Baharu

Terokai Ketenangan Hutan Rimba Bali di Novotel Bali Ubud Resort Baharu

Bagi pengembara yang mencari pelarian daripada hiruk-pikuk kota, Novotel kini memperkenalkan destinasi terbaharu mereka, Novotel Bali Ubud Resort, sebuah pusat penginapan yang direka khusus untuk menyuntik tenaga semula dan menghubungkan tetamu dengan alam semula jadi.

Terletak di celah landskap hutan rimba yang menghijau dan lembah yang tenang, resort ini hanya mengambil masa 30 minit pemanduan dari pusat bandar Ubud, kawasan pergunungan Kintamani, dan Gunung Batur yang ikonik.

Berpegang kepada prinsip Longevity Everyday, resort ini bukan sekadar tempat bermalam, malah mempromosikan gaya hidup sihat melalui amalan harian yang mudah seperti pemakanan berkhasiat, tidur yang berkualiti, dan aktiviti fizikal yang konsisten.

Setiap daripada 159 bilik yang tersedia dilengkapi dengan balkoni peribadi yang menawarkan pemandangan hutan atau kolam renang infiniti. Reka bentuk dalamannya pula menggabungkan tekstur semula jadi dengan karya seni kraf tangan Bali, mewujudkan suasana yang mendamaikan.

Dari segi kulinari, restoran Siralada menawarkan menu berasaskan tumbuhan dan citarasa tempatan yang kaya, manakala The Social Hub di lobi menjadi ruang santai untuk menikmati snek berkhasiat.

“Pelancong hari ini mencari keseimbangan dan hubungan autentik dengan destinasi yang mereka lawati. Pembukaan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan pelancongan di Indonesia,” kata Garth Simmons, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Premium, Midscale & Ekonomi Accor Asia.

Seiring dengan usaha menjaga kelestarian planet, resort ini telah menghapuskan penggunaan plastik sekali guna. Selain itu, sebahagian besar perabot dan hiasan dalaman dihasilkan oleh artis tempatan bagi menyokong ekonomi kreatif komuniti Bali serta mengurangkan kesan karbon.

Sempena pembukaannya, Novotel Bali Ubud Resort menawarkan kadar istimewa bermula dari IDR 2,300,000++ semalam bagi Bilik Superior termasuk sarapan untuk dua orang. Tawaran ini sah untuk tempahan sehingga 30 April 2026 bagi tempoh penginapan sehingga 30 Jun 2026.

Ahli program kesetiaan ALL – Accor Live Limitless juga berpeluang menikmati ganjaran eksklusif dan mengumpul mata ganjaran sepanjang penginapan mereka. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi all.accor.com.