
Selepas melalui penceraian, pelakon dan usahawan terkenal, Fazura, mengambil pendekatan untuk memberi sepenuh perhatian kepada masa depan diri dan anaknya.
Bagi Fazura, atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, memikirkan tentang jodoh baharu dirasakan masih terlalu awal dan bukan merupakan keutamaan dalam kehidupannya ketika ini.
“Saya rasa terlalu cepat dan terlalu awal untuk fikir soal pengganti. Sejujurnya, saya sangat tenang, lega, dan selesa sekarang. Tidak terlintas langsung untuk memikirkan hal itu, tetapi saya amat hargai doa dan harapan peminat,” kata Fazura.
Bagi pelakon Gol & Gincu ini, tumpuannya kini adalah pada anak, kerjaya seni dan perniagaanya. Baginya, membina masa depan yang stabil untuk anak merupakan keutamaan utama.
“Tujuan hidup saya adalah untuk berjaya, mencari rezeki halal, dan memastikan masa depan anak terjamin. Saya berada dalam fasa kehidupan di mana saya ingin terus maju dan membangunkan perniagaan saya,” tambah.
Ketika ditanya tentang cabaran yang dihadapinya, Fazura menegaskan bahawa kekuatannya datang daripada Allah SWT.
“Semua kekuatan saya datang daripada Allah. Saya hanya fokus kepada apa yang penting dalam hidup saya. Apa sahaja yang orang kata atau gosipkan, itu urusan mereka, bukan urusan saya,” jelasnya.
Terdahulu, Fazura ditemui media semasa majlis pelancaran video muzik lagu terbaharunya berjudul Luar Biasa, hasil gandingan bersama Ade Govinda.