TERKINI: TLDM tubuh Lembaga Siasatan tragedi dua helikopter bertembung
- oleh Mohd Indera
- 7 bulan lalu
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, pagi ini.
Cawangan Komunikasi Strategik TLDM berkata, nahas jam 9.32 pagi itu membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM yang terhempas ketika menyertai raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.
“Insiden ini membabitkan 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.
“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan kejadian itu juga, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.
Setakat ini, TLDM tidak mengeluarkan senarai nama semua mangsa yang terbunuh dalam nahas itu.
Terdahulu, media melaporkan kedua-dua pesawat itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan yang berlaku, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Nahas itu menyebabkan sebahagian komponen helikopter yang berkecai berterbangan sekitar tempat ia terhempas.